Sebentar tadi, jenama peranti pintar gaming iQOO telah melancarkan peranti pintar terbaru mereka, iaitu iQOO 11 secara rasmi. Jenama ini secara lazimnya hanya akan melancarkan peranti di pasaran China dan juga India, tetapi buat pertama kalinya akan melancarkan peranti pintar di pasaran Malaysia secara rasmi.

iQOO 11 tampil dengan skrin AMOLED E6 bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 1440×3200 dengan kadar segar semula 144Hz, kecerahan skrin setinggi 1800 nit. Dengan cip V2 terbina didalam paparan ini, ia boleh membantu dalam meningkatkan nilai kadar segar semula dalam aplikasi dari 90Hz ke 120Hz bergantung kepada sokongan aplikasi tersebut.

Peranti iQOO 11 ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 yang baru sahaja dilancarkan pada bulan lepas, dan ialah diantara peranti pertama di dunia yang menggunakan cip pemprosesan ini.
Cip pemprosesan ini dipadankan bersama-sama memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan storan UFS 4.0 sebesar 256GB. Dalam pada itu, seperti banyak peranti Android sekarang, iQOO 11 tampil dengan memori tambahan sebanyak 8GB yang boleh ditambahkan melalui storan yang terbina didalam peranti.

Dari segi perisian, iQOO 11 menggunakan Funtouch OS 13 yang dibangunkan berdasarkan sistem operasi Android 13 yang terbaru. Dengan bateri 5000mAH terbina, ia juga menyokong sistem pengecasan pantas FlashCharge 120W yang mana bateri peranti ini boleh dicas dari kosong ke penuh dalam masa 25 minit sahaja.
iQOO telah mengesahkan bahawa hanya peranti iQOO 11 edisi Legend akan memasuki pasaran Malaysia. Secara ringkasnya, iQOO 11 edisi Legend ini dibangunkan dengan kerjasama bersama-sama BMW M Motorsport yang mana ia hadir dengan penggunaan kulit silikon di bahagian belakang dan juga gentian kaca melalui jalur Clous de Paris yang berwarna biru, merah dan hitam.
Jualan iQOO 11 ini akan dibuka pada 9 Disember 2022 dan akan dijual pada harga RM3499 untuk model berspesifikasi memori 16GB dan storan UFS 4.0 sebesar 256GB. Bersempena pelancaran peranti ini, anda yang berminat untuk mendapatinya boleh membelinya pada harga RM3299 sementara stok masih ada.