Carian
Ulasan – iQOO 11 5G Dengan Snapdragon 8 Gen 2 Pantas Bak Peluru
December 9, 2022 Amy Maizuraa

IQOO 11 5G baru sahaja dilancarkan dengan harga jualan RM3,499. Menjadi yang terawal menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2, sekaligus meletakkannya sebagai sebuah telefon pintar berspesifikasi mercu yang menarik. Apa yang boleh kami cakap, telefon pintar ini mengagumkan kami dalam hampir kesemua perkara. Ini termasuklah reka bentuk yang premium, cip pemprosesan berprestasi lancar, ketahanan bateri baik dan sistem pengecasan yang pantas. Tetapi tidak semuanya positif, sebaliknya terdapat juga perkara yang kami kurang senang pada telefon pintar ini. Untuk ketahui dengan lebih lanjut, mari kami kongsikan dalam artikel ulasan penuh ini untuk penggunaan selama dua minggu.


Spesifikasi Dan Rekaan

IQOO 11 5G
Skrin6.78″ (1440 x 3200 piksel) (~518 ppi)
AMOLED E6 2K (1440 x 3200 piksel), 144Hz
PemprosesQualcomm Snapdragon 8 Gen 2 (4 nm)
Cip1×3.2 GHz Cortex-X3
2×2.8 GHz Cortex-A715
2×2.8 GHz Cortex-A710
3×2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM16GB RAM LPDDR5
Muatan Dalaman256 UFS 4.0 (Tiada Mikro SD)
Kamera Utama50MP, f/1.9, 23mm, OIS (Sudut lebar)
13MP, f/2.5, 50mm (Telefoto), PDAF, 2X Zum optikal
8MP, f/2.2, 16mm (Ultra-lebar)
Kamera Swafoto16MP, f/2.5, (lebar)
Bateri5,000 mAh
Pengecasan pantas 120W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari di sisi & wajah
Harga JualanRM3499 (16GB/256GB)

Di tangan kami sekarang adalah iQOO 11 Legend Edition. Nampak mahal dan premium kerana ianya dibuat dengan kerjasama BMW M Motorsport. Di sini, panel belakang telefon pintar sepenuhnya diperbuat daripada gentian kaca yang dilitupi kulit vegan dan disalut pula dengan kemasan tahan calar. Kemudian jika diperhatikan lebih dekat, kemasan kulit yang digunakan juga bertekstur.

Gabungan kesemua ini, bukan sahaja menjadikan telefon ni tahan lama dan nampak cantik di tangan. Sebabnya, iQOO 11 5G langsung tidak terasa licin dan tidak senang kotor dengan cap jari. Tetapi dalam masa sama, telefon pintar sememangnya terasa amat selesa bila dipegang. Berat keseluruhannya juga seimbang, senang kata terasa cukup solid. Penggunaan sebelah tangan juga tidak menimbulkan rasa yang membebankan atau tidak selesa.

Kami juga tidak nafikan, pemilihan warna putih secara menyeluruh menjadikan telefon ini nampak lebih kemas. Kemudian, kombinasi warna ini menjadi lebih unik apabila adanya reka bentuk jalur tiga warna iaitu merah, biru dan hitam yang diilhamkan oleh warna BMW Motorrad. Namun begitu, unik dan premium macam manapun, sayangnya telefon ini tidak melepasi sebarang piawaian kalis air dan debu. Untuk sebuah telefon mercu tiada kemampuan kalis air serta debu agak mengecewakan pada kami.

Sekali lagi kami katakan, ini adalah ciri yang penting. Lebih-lebih lagi dengan cuaca sekarang yang tidak menentu yang kadang-kalanya hujan lebat tanpa henti. Maka dengan adanya ciri ini, secara tidak langsung boleh dijadikan sebagai pelindungan tambahan. Bagaimanapun kebiasaannya, pengeluar mengeluarkan salah satu ciri penting ini atas sebab mengurangkan kos. Nampaknya, iQOO juga tidak terkecuali.

Seterusnya telefon pintar yang cantik ini dipadankan pula dengan kerangka yang teguh. Ketebalannya juga tidak terasa kerana sisi yang dibulatkan. Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Talam dwi-SIM diletakkan di bawah tapi tak ada sokongan kad mikroSD. Kemudian ada juga port USB-C dan pembesar suara pada sisi yang sama.

Dari segi audio, iQOO 11 menyokong pembesar suara stereo. Hasil audio boleh dikatakan lantang tetapi tidak seimbang. Sebabnya, bunyi audio pada bahagian bawah kedengaran lebih kuat berbanding speaker di atas. Bukan itu sahaja, sisi atas pula menempatkan sebuah pemancar infra merah yang sukar untuk dijumpai pada sesebuah telefon moden sekarang.

IQOO 11 5G mempunyai panel hadapan rata berlubang kecil dengan nisbah skrin yang besar. Skrin adalah berlubang kecil untuk kamera swafoto. Selain itu bezel pada sisi, dagu dan dahi pula agak nipis tetapi tidak seimbang. Ini disebabkan kalau perasan dagu kelihatan agak tebal sedikit berbanding sisi yang lain. Skrin hadapan adalah sebesar 6.78-inci E6 AMOLED bersolusi 2K dengan kadar segar semula 144Hz. Seperti yang boleh dijangkakan daripada panel daripada jenis AMOLED, skrin sudah tentunya mempunyai warna, kontras dan sudut tontonan yang baik.

Tapi kandungan HD tidak boleh distrim pada Netflix kerana telefon pintar ini sekadar dilengkapi pengesahan Widevine L3. Kadar segar semula 144Hz pula bukan sahaja baik sewaktu bermain permua. Tetapi, kehebatan itu diteruskan lagi dengan pengalaman menavigasi telefon pintar yang cukup lancar. iQOO 11 juga ada tambahan cip ISP V2 untuk peningkatan kadar bingkai dalam permainan mudah alih.

[Kemaskini : Bagi yang melanggan Netflix, kandungan resolusi HD kini boleh distrim kerana peranti dilengkapi sistem DRM Widevine L1 menerusi kemaskini baharu.]


Pengalaman Penggunaan

Setakat ini, IQ00 11 5G merupakan telefon terawal dengan Snapdragon 8 Gen 2. Ini adalah cip paling berkuasa ditawarkan oleh Qualcomm untuk peranti Android setakat ini. Apabila digabungkan dengan memori 16GB RAM LPDDR5, storan dalaman 256GB UFS 4.0, kemudian ruang ini boleh dikembangkan lagi dengan RAM maya hingga 8GB.

Makanya, tidak mengejutkan apabila kami kata prestasi iQOO 11 adalah mengagumkan. Segala isu panas melampau yang diperkatakan berlaku pada telefon pintar dengan Snapdragon 8 Gen 1 sebelum ini, tidak berlaku pada kali ini. Kami menguji beberapa permua dengan tetapan grafik paling tinggi juga telefon pintar ini mampu berfungsi dengan lancar sekali. Grafik juga cantik, seterusnya jikalau menyentuh soal suhu pula sesi permainan yang lama setakat di tahap yang suam-suam sahaja.

Apa yang sedikit mengecewakan adalah masalah aplikasi gendut. iQOO 11 menggunakan FunTouch OS 13 berasaskan Android 13. Antaramuka kalau dilihat secara menyeluruh memang nampak ringkas. Boleh dikustomasi ikut keperluan tapi pilihan agak terhad.

Berbalik pada aplikasi gendut tadi, kebanyakan daripadanya dah siap terpasang. Tapi bagusnya di sini, aplikasi-aplikasi tadi boleh dibuang secara manual. Kami juga ingin menyentuh isu iklan yang berterusan. Ada sahaja cadangan aplikasi yang mana kami rasa kebanyakan daripadanya kami tidak perlukan. Iklan tidak pula boleh dimatikan seperti yang diberikan pada Xiaomi pada MIUI. Pengalaman penggunaan terasa seperti peranti murahan kerana dua isu ini.


Penanda Aras

iQOO 11 ialah peranti pertama dilengkapi Snapdragon 8 Gen 2 di Malaysia. Cip yang baru diumumkan pada awal November lalu. Kami bandingkan peranti cip ini dengan Snapdragon 8+ Gen 1 pada Redmagic 7S Pro dan Apple A16 Bionic pada iPhone 14 Pro Max. Dari markah di bawah dapat dilihat A16 Bionic mempunyai kelebihan pada prestasi CPU tetapi ketinggalan dalam prestasi GPU. Snapdragon 8 Gen 2 berjaya mengurangkan jurang prestasi dengan cip terbaik iPhone tahun ini.

Geekbench 5

  • iQOO 11 5G – 1457/4702
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 1875/5469
  • Redmagic 7S Pro– 1727/4713

Antutu 3D

  • iQOO 11 5G – 1,248,937
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941
  • Redmagic 7S Pro – 789,647

3D Mark Wildlife Extreme

  • iQOO 11 5G – 3763
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373
  • Redmagic 7S Pro: 2719

Kualiti Kamera

Bergerak pada kamera. iQOO 11 menggunakan kamera utama 50MP (Isocell GN5) dengan OIS, kamera telefoto 13MP yang mampu zum optik 2x dan ultra-lebar 8MP. Kamera swafoto pula 16MP. Format rakaman video yang disokong mencapai 8K/30FPS. Ciri penstabilan video juga ada dekat sini dengan dua pilihan tetapan, sama ada standard yang boleh digunakan sehingga rakaman 4K/60FPS. Kemudian, Ultra pula terhad hingga 1080P/60FPS sahaja. Berbalik pada rakaman 8K tadi, tiada sebarang ciri penstabilan yang disokong. Kalau anda jenis yang sukakan rakaman berunsurkan sinematik. Dekat sini ada ciri dinamakan Film yang boleh dicuba.

Kemampuan kamera iQOO 11 berada di tahap memuaskan bergantung pada situasi, ini termasuklah cahaya. Secara menyeluruh, gambar yang diambil menggunakan kamera utama nampak terang. Sokongan mod kamera terbina yang disediakan di sini juga memudahkan proses mengambil gambar pada tetapan yang sepatutnya. Tetapi warna dan butiran terhasil tidak konsisten. Ada masa cukup syarat misalnya seperti situasi dengan pencahayaan yang cukup maka, gambar yang dihasilkan memang nampak memuaskan.

Jika tidak, gambar akan jadi kurang menarik dengan warna yang pucat. Butiran hilang dan nampak agak lembut (soft). Kekurangan lain lagi pada lensa sudut lebar. Gambar tidak cukup tajam, warna lebih tidak bermaya, jika dibandingkan dengan kamera utama. Tetapi berbeza ceritanya dengan kemampuan malam. Yang mana, keseluruhannya baik sekali. Gambar bukan sahaja terang, tapi cukup bermaya.

Lensa ultra-lebar
Lensa ultra-lebar
Lensa ultra-lebar

Ketahanan Bateri

Akhir sekali adalah bateri dengan kapasiti 5000mAh. Penggunaan hampir seminggu, apa boleh kami kata hayat baterinya adalah amat baik. Tiada masalah untuk digunakan sepanjang hari. Seperkara yang perlu kami kongsilkan juga adalah pada tetapan bateri terdapatntya tiga mod yang boleh dipilih sama ada, Power Saving, Balanced atau Monster. Ketiga-tiganya menawarkan pengalaman penggunaan berbeza, misalnya penggunaan mod Monster secara berterusan lebih memendekkan jangka hayat bateri jika mahu dibandingkan dengan mod Balanced.

Kami mencubanya dengan beberapa aktiviti seperti mengambil gambar, menatal instagram, menggunakan Google Maps, bermain aplikasi dan membalas emel. Apabila kami menggunakannya secara berterusan dengan pilihan mod Monster sepenuhnya, bateri boleh bertahan hingga 9 jam dengan SOT lebih 5 jam. Kegunaan bersahaja pula boleh bertahan hingga 13 jam dengan SOT lebih 10 jam dengan tetapan diantara mod Balanced dan Monster yang diubah-ubah secara berkala.


Pesaing

iQOO 11 5GVivo X90 Pro+Apple iPhone 14 Pro Max
6.78″ AMOLED, 144Hz, (518 ppi), HDR10+6.78″ AMOLED, 120Hz, (517 ppi), 120Hz, Dolby Vision6.7″ Super Retina XDR OLED, 120Hz, (460 PPI), Dolby Vision
Snapdragon 8 Gen 2 (4 nm)
1×3.2 GHz Cortex-X3
2×2.8 GHz Cortex-A715
2×2.8 GHz Cortex-A710
3×2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4 nm)
1×3.2 GHz Cortex-X3
2×2.8 GHz Cortex-A715
2×2.8 GHz Cortex-A710
3×2.0 GHz Cortex-A510
Apple A16 Bionic (4 nm)
2 x 3.46 GHz Everest
4 x 2.02 GHz Sawtooth
Adreno 740Adreno 740Apple GPU (5-Teras)
16GB RAM LPDDR5
256 UFS 4.0
12GB RAM LPDDR5
256/512 GB UFS 4.0
6GB RAM
128/256/512/1TB
50MP, f/1.9, OIS (Lebar)
13MP, f/2.5, (Telefoto)
8MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
50.3MP, f/1.8, OIS, (Lebar)
64 P, f/3.5,OIS (Telefoto),
50MP, f/1.6, OIS(Telefoto)
48MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
48MP, f/1.8, OIS (Lebar)
12MP, f/2.8,OIS (Telefoto)
12MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
3D TOF
16MP, f/2.5 32MP, f/2.5 12MP
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh
Pengecasan pantas 120W
4700 mAh
Pengecasan pantas 80W
Pengecasan nirwayar 50W
3200 mAh
Pengecasan pantas 27W
Pengecasan MagSafe 15W
RM3499 (16/256GB)RM4158* (12/256GB)
RM4478* (12/512GB)
RM5799 (128GB)
RM6299 (256GB)
RM7299 (512GB)
RM8299 (1TB)

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x IQOO 11 5G
  • 1x Kerangka silikon lutcahaya.
  • 1x Pengecas tiga pin 120W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Manual.
  • 1x dongel tambahan.
  • 1X Kad Eksklusif BWM M Motorsport.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan. Macam kami katakan tadi. iQOO 11 mengagumkan dalam sejumlah besar perkara. Walaupun kami kurang berkenan dengan masalah bloatware dan iklan berterusan. Dengan harga jualan RM3,499, ia adalah peranti yang mampu milik. Prestasi keseluruhannya memuaskan, jangka hayat bateri juga baik. Kalau nak dibandingkan dengan beberapa pesaing sedia ada yang dijana dengan cip generasi dahulu.

Terdapat di antaranya yang dijual dengan harga lebih mahal. Jadi penawaran pada iQOO 11 adalah menarik tetapi mereka yang minat membeli perlu menyedari isu sokongan DRM sekadar Widevine L3, tiada kemampuan kalis air dan sistem operasi dipenuhi aplikasi gendut.


Pro:

  • Rekaan premium selesa di dalam tangan.
  • Pemproses Snapdragon 8 Gen 2 paling berkuasa setakat ini.
  • Sistem kamera dengan mod terbina menarik.
  • Kapasiti bateri & sistem pengecasan pantas 120W.
  • Gabungan memori dan storan mencukupi.
  • Harga mampu milik untuk spesifikasi ditawarkan.

Kontra:

  • Tiada mikro SD.
  • Tiada bicu audio 3.5mm.
  • Tidak kali air dan debu.
  • Aplikasi gendut & iklan yang berterusan.
Komen