Intel Dan SK Hynix Membangunkan Memori DDR5 Dengan Kapasiti Dan Kelajuan Setinggi 8000MT/s

Diterbitkan pada Dis 9, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Memori DDR5 yang hadir dengan kapasiti dan kelajuan tinggi diperkenalkan sejak tahun lalu apabila Intel memperkenalkan siri cip pemprosesan Alder Lake mereka, dan AMD pada tahun ini melalui cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 mereka.

Jika anda merasakan bahawa memori DDR5 dengan kelajuan 6000MT/s dan kapasiti sebesar 32GB sebatang, Intel dan SK Hynix nampaknya sedang membangunkan modul memori DDR5 baru yang dinamakan MCR DIMM yang menjanjikan kapasiti dan kelajuan yang lebih pantas daripada apa yang ditawarkan sekarang.

MCR dalam konteks ini ialah Multiplexer Combined Ranks yang membolehkan cip-cip memori dalam konfigurasi dual-rank (cip memori di kedua-dua belah satu batang RAM) digunakan secara selari.

Secara lazimnya, apabila memori dual-rank digunakan, walaupun yang mempunyai kapasiti tinggi, jumlah memori yang boleh dihantar ke CPU pada satu-satu masa hanyalah 64bit sahaja pada setiap belah memori tersebut, dan ini mengehadkan kelajuan data yang boleh dihantar.

Dengan teknologi MCR ini, memori tersebut boleh menggabungkan memori dari kedua-dua bahagian RAM sebanyak 128bit, dan ini secara langsung bukan sahaja meningkatkan kelajuan penghantaran data RAM, tetapi juga membolehkan pembekal memori untuk menambahkan lagi banyak jumlah cip memori untuk dimanfaatkan oleh pengguna.

Walaupun begitu, satu kekurangan yang ketara dapat dilihat melalui penggunaan memori ini ialah masa pendam yang diperlukan kerana data yang dihantar perlu dimasukkan kedalam cache terlebih dahulu sebelum ia dihantar.

Intel dan SK Hynix juga mengatakan bahawa untuk memanfaatkan memori MCR ini, bahagian CPU perlu menyokong memori ini supaya isu masa pendam tidak menjadi masalah.

Dengan kelajuan yang bole melangkaui 8000MT/s, SK Hynix berkata mereka mahu membawa memori ini ke industri perkomputeran seperti pusat data dan adikomputer, tetapi tidak mengatakan bilakah ia akan mula dikeluarkan untuk tujuan-tujuan tersebut.

komen


© Amanz / 2023 Kami