Bugatti Melancarkan Jam Tangan Gentian Karbon Pertama Dunia Pada Harga RM12,242

Diterbitkan pada Dis 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bugatti lebih dikenali sebagai syarikat pengeluar kereta berprestasi tinggi yang harganya mencecah puluhan juta ringgit. Kebelakangan ini Bugatti berjinak-jinak pula dengan pengeluaran jam tangan pintar dengan sistem operasi BugattiOS. Semalam mereka telah melancarkan pula Bugatti Carbone Limited Edition yang merupakan jam tangan pertama dengan tubuh diperbuat daripada bahan gentian karbon.

Bongkah gentian karbon telah dipotong menggunakan mesin CNC. Rekaan Carbone Limited Edition ini sama dengan Bugatti Ceramique Edition One Pur Sport, Bugatti Ceramique Edition One Le Noire dan Bugatti Ceramique Edition One Divo yang dilancarkan tahun lalu cuma dalam versi gentian karbon. Skrin masih lagi AMOLED dengan kaca nilam sesentuh yang tahan lasak.

Dengan sekali caj, bateri 540mAh boleh bertahan sehingga 12 hari dalam mod biasa atau 2 hari dengan AOD. Dengan tubuh tahan lasak, ia turut kalis ais sehingga kedalaman 100 meter. Kerana bahan gentian karbon yang digunakan, jam ini hanya seberat 94 gram.

Ia hadir dengan pelbagai ciri standard seperti GPS, penjejak tapak, pengimbas nadi, tidur dan VO2Max. Terdapat mod mengesan 90 jenis senaman dan aktiviti sukan secara automatik bersama dengan saranan aktiviti sukan yang boleh dilakukan. Menurut Bugatti, sistem pengesan GPS pada jam tangan mereka adalah sebaik yang digunakan pada kereta lumba Chiron.

Di Malaysia Bugatti Carbone Limited Edition dijual pada harga RM12,270 seutas dengan hanya 2500 unit sahaja akan dikeluarkan oleh Bugatti.

komen


© Amanz / 2023 Kami