Cari @ Amanz

Siri Xiaomi 13 akhirnya dilancarkan di China sebagai peranti mercu terkini daripada jenama berkenaan. Terdapat dua variasi model yang diumumkan yang merangkumi Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro. Kedua-duanya juga hadir dengan penawaran berbeza bagi menjadikan masing-masing mempunyai nilai yang tersendiri.

Xiaomi 13 Pro menggunakan skrin OLED 6.73-inci beresolusi 2K dan kadar segar semula 120Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan beberapa ciri tambahan seperti HDR10+, Dolby Vision dan sokongan HLG. Seterusnya cip Snapdragon 8 Gen 2 digunakan sebagai tunjang utama dengan memori sehingga 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 4.0.

Kamera utama pula sebesar 50MP dengan sensor bersaiz 1-inci dari Sony IMX989. Kemudian diikuti juga dengan kamera ultra-lebar 50MP dan 50MP untuk telefoto. Kamera swafoto adalah 16MP dan bateri sebesar 4,820mAh dengan pengecasan berwayar 120W, nirwayar 50W serta berbalik 10W. Turut disertakan adalah penarafan kalis air IP68 dan pembesar suara stereo yang ditala oleh Dolby Atmos.

Kesemua ciri yang dinyatakan di atas dimuatkan dalam sebuah tubuh peranti nipis dengan skrin sejenis melengkung. Panel hadapan juga adalah sejenis berlubang dengan saiz bezel yang agak nipis pada hampir kesemua sisi.

Xiaomi 13 pula menggunakan skrin OLED beresolusi FHD+ sebesar 6.36-inci. Ia juga menyokong beberapa ciri tambahan seperti HDR10+, HLG dan kadar segar semula 120Hz. Cip Snapdragon 8 Gen 2 digunakan dengan memori sehingga 12GB RAM LPDDR5 dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 4.0.

Kamera utama adalah 50MP dengan sensor Sony IMX800 bersama OIS. Kemudian diikuti juga dengan kamera sudut-lebar 12MP dan telefoto 10MP. Kamera hadapan 16MP dan bateri 4,500mAh dengan pengecasan berwayar 67W, nirwayar 50W serta berbalik 10W turut disertakan pada peranti ini. Lain-lain spesifikasi termasuklah penarafan kalis air IP68 dan pembesar suara stereo yang ditala oleh Dolby Atmos.

Kesemua ciri yang dinyatakan ini pula dimuatkan ke dalam tubuh peranti sejenis berkotak dengan skrin rata. Panel hadapan juga adalah berlubang di tengah dengan saiz bezel agak nipis pada hampir kesemua sisi peranti.

Berikut adalah senarai harga jualan untuk kedua-dua telefon pintar:

  • Xiaomi 13 Pro (8GB + 128GB) – RMB 4,999 (RM3161)
  • Xiaomi 13 Pro (8GB + 256GB) – RMB 5,399 (RM3414)
  • Xiaomi 13 Pro (12GB + 256GB) – RMB 5,799 (RM3667)
  • Xiaomi 13 Pro (12GB + 512GB) – RMB 6,299 (RM3983)
  • Xiaomi 13 (8GB + 128GB) – RMB 3,999 (RM2529)
  • Xiaomi 13 (8GB + 256GB) – RMB 4,299 (RM2718)
  • Xiaomi 13 (12GB + 256GB) – RMB 4,599 (RM2908)
  • Xiaomi 13 (12GB + 512GB) – RMB 4,999 (RM3161)
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd