Carian
MIUI 14 Dilancarkan Dengan Penambahbaikan Widget Dan Lebih Pantas Berasaskan Android 13
December 12, 2022 Effi Saharudin

Sistem operasi baharu Xiaomi MIUI 14 yang berasaskan Android 13 telah dilancarkan secara rasmi semalam serentak dengan pelancaran siri Xiaomi 13. Kali ini penambahbaikan diberikan kepada meningkatkan kelancaran animasi yang dikatakan lebih baik sehingga 60%, tumpuan kepada privasi dan menambah elemen antaramuka yang lebih menarik.

Ikon dan antaramuka lebih besar yang mengingatkan kami kepada rekaan yang digunakan pada peranti Pixel. Elemen antaramuka turut nampak lebih ceria. Terdapat sokongan Widget yang lebih mewah bersama dengan widget haiwan peliharaan dan tumbuh-tumbuhan maya. Ini mengingatkan kami kepada watak maya Shark Chan pada peranti Black Shark 5 yang telah diulas tahun ini.

MIUI 14 turut mempunyai saiz pemasangan yang lebih kecil bawah 14GB berbanding sehingga 17GB untuk MIUI 13. Fail yang tidak diperlukan akan dibuang oleh sistem secara automatik apabila tidak digunakan. Sebagai contoh hanya lapan sahaja aplikasi terpasang tidak boleh dibuang oleh pengguna jika tidak ingin digunakan.

Aplikasi galeri kini boleh membaca teks dari gambar yang disimpan dengan ia kemudiannya dialih bahasa dengan hanya menekan pada skrin. Lapan bahasa disokong pada waktu ini. Pembantu maya Mi AI turut ditambah baik dengan pelbagai ciri baharu.

Bagi yang berkeluarga, galeri boleh dikongsi dengan 8 ahli keluarga secara automatik bersama dengan perkongsian data kesihatan jika perlu. Kedua-dua ciri ini mirip dengan yang disokong pada iOS 16 di peranti iPhone.

Akhir sekali terdapat ciri memudahkan interaksi dengan produk-produk pintar dalam ekosistem Xiaomi. Dari tangkapan layar, ia mempunyai persamaan dengan ciri Super Device pada peranti Huawei. MIUI 14 pada waktu ini hanya digunakan pada Xiaomi 13 dan Xiaomi 13 Pro terlebih dahulu.

Sebelas peranti terawal yang akan menerima MIUI 14 pada bulan Januari 2023 adalah.

  • Xiaomi 12S Ultra
  • Xiaomi 12S Pro
  • Xiaomi 12S
  • Xiaomi 12 Pro
  • Xiaomi 12 Pro Dimensity Edition
  • Xiaomi 12
  • Xiaomi MIX Fold 2
  • Redmi K50 Pro
  • Redmi K50 Extreme Edition
  • Redmi K50 Esports Edition
  • Redmi K50
Komen