Huawei Kids Watch 5X Pro Dilancarkan Dengan Paparan Skrin Tambahan

Diterbitkan pada Dis 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Setiap peranti boleh-pakai Huawei yang dihasilkan mempunyai tumpuannya yang tersendiri, baik dalam kalangan pengguna dewasa mahupun kanak-kanak. Baru-baru ini, dua utas jam tangan kanak-kanak baharu Huawei telah diumumkan, dikenali sebagai Huawei Kids Watch 5X dan Huawei Watch 5X Pro.

Kedua-duanya berkongsi sebahagian besar perkakasan dalaman yang sama. Tetapi perubahan ketara terletak pada reka bentuk fizikal. Misalnya seperti tambahan skrin sekunder monokrom dan tali seakan besi pada variasi pro. Sementara itu, variasi standard pula sekadar menyokong skrin utama dengan tali silikon biasa.

Untuk spesifikasi, skrin yang digunakan adalah sejenis AMOLED sebesar 1.6-inci dengan resolusi 360 X 360 piksel. Kerangka jam tangan turut memuatkan sokongan dwi-kamera dengan konfigurasi 5MP di hadapan dan 8MP di belakang. Dalam pada itu, kerangka ini turut boleh diputar sehingga 360 darjah dan ditanggalkan daripada tali jam.

Seterusnya, memori 1GB RAM dan storan dalaman 8GB terbina turut disertakan. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai sambungan selular dengan slot kad SIM serta Wi-Fi, di samping turut menyokong Bluetooth 4.2. Kedua-dua juga melepasi penarafan kalis air IPX8 sebagai pelindungan tambahan.

Huawei Watch Kids 5X dijual pada RMB1598 (~RM1,011), sementara itu variasi pro pula boleh didapati pada RMB1989 (~RM1,259) seutas. Tiada maklumat lanjut mengenai ketersediaanya untuk pasaran Malaysia yang diketahui setakat ini.

komen


© Amanz / 2023 Kami