Motorola menjadualkan sebuah acara pelancaran produk baharu pada 15 Disember. Melaluinya, Moto X40 akan diumumkan dengan beberapa perkara menarik. Ini termasuklah penawaran peranti berspesifikasi mercu dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen 2.
Turut disertakan adalah bateri 4600mAh yang menyokong sistem pengecasan pantas 125W. Pada masa sama, jangka hayat bateri peranti turut boleh dipertingkatkan sehingga 32% lebih baik dalam pelbagai jenis senario penggunaan. Bagaimanapun, Motorola tidak pula mendedahkan masa pengecasan semula yang diambil untuk sesuatu tempoh.
Telefon pintar juga menyokong antaramuka MYUI 5.0 dengan sejumlah penampilan baharu seperti warna, reka bentuk dan elemen lebih baik. Di mana, ia dikatakan mampu memberikan pengalaman yang sistematik dalam kalangan pengguna.
Seterusnya kamera utama adalah sebesar 50MP, di samping turut menyokong kebolehan rakaman secara mendatar dari pelbagai arah atau sudut dengan mudah. Bukan itu sahaja, penarafan kalis air dan debu IP68 turut disokong sebagai pelindungan tambahan pada peranti,
Kesemua ciri yang dinyatakan setakat ini akan dimuatkan ke dalam tubuh sebuah telefon pintar dengan skrin hadapan melengkung. Rekaan panel belakang masih belum diketahui setakat ini, namun ia semestinya didedahkan dalam masa terdekat.