CES atau nama panjangnya, Consumer Electronic Show merupakan acara tahunan yang sering memperlihatkan pelbagai teknologi baharu daripada segenap pengeluar. Ini termasuklah MSI yang dilihat dalam perancangan hadir dengan kemaskini komputer riba baharu pada CES 2023.
Kelak dikenali sebagai MSI Titan GT77 HX, spesifikasi utama skrin tertiris menerusi satu imej tular. Ia menunjukkan komputer riba akan datang MSI ini akan dilengkapi panel Mini LED 4K (3840 X 2160 piksel) sebesar 17.3-inci dengan kadar segar semula 144Hz dan tindak balas 3ms. Turut disertakan adalah ciri tambahan lain seperti sokongan untuk gamut warna sRGB 100%, kecerahan puncak mencapai 1000nits dan nisbah aspek 16:9.
Tiada maklumat mengenai CPU tetapi ia mungkin menggunakan cip Intel Generasi 13, Raptor Lake dengan padanan GPU NVDIA RTX 40. Di samping itu, papan kekunci mekanikal dan sistem penyejukan besar dengan mekanisme 8 lapisan untuk pengaliran haba yang baik. Melihat pada penawaran tertiris jelas menunjukkan ia kelak dilancarkan sebagai sebuah komputer riba memfokuskan permainan.