Oppo Find N2 Kini Rasmi Dengan Skrin Boleh-Lipat 7.1″, Snapdragon 8+ Gen 1 Dan Kamera Hasselblad

Diterbitkan pada Dis 15, 2022. oleh .

Setelah ditiris dan diacah, Oppo Find N2 telah dilancarkan secara rasmi hari ini. Peranti skrin boleh-lipat mengekalkan rekaan Find N asal yang kompak dan lebih kecil jika dibandingkan dengan Z Fold4 dan Magic Fold 2. Skrin luar sebesar 5.54″ OLED 120Hz dipadakan dengan skrin boleh lipat 7.1″ OLED 120Hz lengkap dengan sokongan mod HDR10. Tahun ini ciri menarik yang ditambah ialah skrin lipat menyokong penggunaan stylus baharu Oppo Pen.

Cip Snapdragon 8+ Gen 1 digunakan bersama dengan memori sehingga 16GB RAM dan storan sehingga 512GB. Melengkapkan spesifikasi ini ialah bateri sebesar 4520 mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W menerusi port USB-C. Sepasang speaker stereo turut diberikan dengan ia diletakkan pada sisi peranti untuk keseimbangan optimum.

Kekuatan peranti tahun ini terletak pada sistem tri-kamera utama 50MP sudut lebar, 48MP ultra sudut lebar dan 32MP telefoto yang boleh melakukan zum optikal 2X. Untuk memberikan kemampuan fotografi yang baik, sistem kamera Hasselblad digunakan. Ini bermakna mod warna Hasselblad yang menarik dan juga mod X-Pan boleh digunakan pada Find N2. Sementara itu kamera swafoto di luar sebesar 32MP.

Cip ISP MariSilicon X yang digunakan pada Reno8 Pro dan Find X5 Pro digunakan disertakan. Menerusi cip ini, kecerdasan buatan untuk memproses gambar akan dilakukan olehnya tanpa membebankan cip Snapdragon 8+ Gen 1. Di atas kertas prestasi mengambil gambar akan menjadi lebih pantas.

Penambahbaikan tahun ini terletak pada engsel yang dikemaskini untuk tidak lagi begitu kompleks. Skrin dilipat dengan rapi sehingga tiada ruang anda engsel dan kesan lipat pada skrin tidak begitu ketara. Mod Flex Android 12L turut disokong walaupun peranti menggunakan ColorOS 13 berasaskan Android 13.

Di China harga jualan Oppo Find N2 ialah RMB 7999 (~RM 5060) untuk versi 12/256GB dan RMB 8999 (~RM 5693) untuk versi 16/512GB.

komen


© Amanz / 2023 Kami