Acara pelancaran hari ini turut memperlihatkan pengenalan untuk Oppo Find N2 Flip. Ini merupakan peranti dengan skrin boleh lipat jenis clampshell terawal daripada Oppo. Dari aspek rekaan, elemen yang digunakan adalah menyerupai sebuah Samsung Galaxy Z Flip sebelum ini, tetapi skrin luaran adalah lebih besar mencapai 3.26-inci sejenis OLED.

Skrin utama pula sejenis AMOLED 6.8-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ia turut dilengkapi beberapa ciri tambahan lain seperti HDR10+, sokongan gamut warna DCI-P3 dan kecerahan puncak mencapai 1600 nits. Seterusnya cip MediaTek Dimensity 9000+ digunakan dengan padanan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB.

Konfigurasi kamera utama terdiri dengan 50MP + 8MP, semtara itu kamera swafoto pula 32MP. Turut disertakan adalah cip ISP Marisilicon X yang sedia diketahui sangat membantu untuk sistem pengimejan mudah alih lebih baik. Bateri pula adalah 4300mAh dengan sistem pengecasan pantas 44W. Di China, harga jualan untuk Oppo Flip N2 bermula RMB5999 (~RM3796).