Ramai sedia menantikan pengenalan komputer berkuasa tinggi Apple Mac Pro yang dijana dengan cip terbaru Apple Siri-M. Sebelum ini, ia telah diperkatakan Apple sedang membangunkan cip Apple M2 Extreme dengan kuasa pemprosesan tinggi, yang akan menjana Mac Pro, tetapi kini ia dilihat rancangan tersebut dibatalkan.
Mengikut laporan Bloomberg, Apple telah membatalkan pembangunan Apple M2 Extreme untuK Mac Pro, sebaliknya akan melengkapkan komputer berkuasa tinggi berkenaan dengan variasi cip Apple M2 Ultra.
Apple dikatakan membatalkan penggunaan cip M2 Extreme disebabkan oleh kekangan pada bahagian pengeluaran – termasuk kesukarannya yang mungkin membuatkan kosnya lebih tinggi.
Sekiranya benar, maka dengan ini, kita mungkin melihat Mac Pro hadir dijana dengan cip Apple M2 Ultra yang dilengkapi cip 24 teras, dan sokongan untuk 76 teras GPU.