Carian
Ulasan – Nothing Ear (Stick) Bunyi Mantap Tapi Harga Pula Tak Sedap
December 28, 2022 Fahim Zahar

Nothing sudah pun berusia setahun. Bermula dengan Nothing Ear (1) pada tahun lepas, kemudian Nothing Phone (1) pada tahun ini dan mereka hadir dengan satu lagi TWS iaitu Nothing Ear (stick). Untuk syarikat baharu, agak hebat bagaimana mereka berkembang dengan pantas.

Tetapi bagaimana dengan kualiti produk mereka? Selepas lebih satu bulan, saya menjadikan Ear (stick) sebagai TWS harian saya agak terkejut sebenarnya dengan kualiti produk ini. Tetapi persoalannya, adakah ia sesuai untuk semua orang, atau khusus untuk peminat Nothing sahaja? Harga jualan pun melebihi RM400, yang mana agak tinggi untuk TWS jenis separa terbuka atau earbud.


Spesifikasi Dan Rekaan

Nothing Ear (stick)
JenisSepara terbuka (earbud)
Pemacu Audio12.6 mm dinamik
PEN (Polietilena Naftalat) + PU (Poliuretana)
Ditala oleh Nothing
SBC & AAC
Mikrofon3x mikrofon
SensorBluetooth 5.2
Auto jeda
Bateri7 jam berterusan
29 jam dengan pod pengecas
9 jam dengan 10 minit cas
TambatanBluetooth
Google Fast Pair
Microsoft Swift Pair
PengecasanUSB-C
Sokongan aplikasiNothing X (terbina dalam Phone (1))
Android, iOS
KawalanPicit
Kemampuan kalis airIP54
Harga JualanRM469

Seperti Ear (1), Nothing menawarkan spesifikasi asas sahaja pada TWS mereka seperti hanya menyokong codec SBC dan AAC dan tidak lebih daripada itu. Perkara paling menyerlah pada Ear (stick) adalah rekaannya dengan menggunakan bahan binaan plastik pada pod pengecas dan setiap fon telinga serta mengekalkan elemen lutsinar. Ear (stick) turut tidak menyokong pembatalan hingar aktif, pembatalan hingar persekitaran, atau juga pengecasan nirwayar.

Kali ini, kawalan pada TWS ini adalah dengan memicit tangkai seperti pada AirPods Pro – cuma ia tiada kesan getaran haptik dan hanya sekadar mengeluarkan bunyi seakan butang telah ditekan. Pemacu audio adalah lebih besar iaitu 12.6mm jenis dinamik dan PEN (Polietilena Naftalat) + PU (Poliuretana). Nothing tidak lagi bekerjasama dengan Teenage Enginering untuk profil audio. Sebaliknya semuanya adalah direka sendiri. Sambungan adalah melalui Bluetooth 5.2 dengan sokongan Microsoft Swift Pair dan Google Fast Pair. Ia turut menyokong ciri menjeda music setiap kali fon telinga ditanggalkan daripada telinga.

Tiga mikrofon disertakan untuk panggilan dan rakaman suara. Bateri dikatakan boleh bertahan sehingga 7 jam secara berterusan atau mencapai 29 jam dengan bantuan pod pengecas merangkap tempat simpanan.

Perlindungan IP54 disertakan untuk kalis percikan atau peluh ketika bersenam. Cuma saya tidak galakkan gunakan Ear (stick) untuk senaman kerana ia tidak begitu ketat di dalam telinga dan amat mudah tertanggal.

Nothing Ear (stick) menggunakan rekaan silinder lutsinar dengan bahan plastik kasar berwarna putih bertekstur. Plastik lutsinar di luar boleh diputar untuk mengeluarkan fon telinga dan terus menghidupkannya. Tiada apa-apa di bawah tetapi di atas terdapat port USB-C untuk pengecasan dan butang kuasa/tambatan yang direka seakan terkurung dalam bekas plastik.

Pada setiap putik audio, ia menggunakan rekaan mirip Ear (1) dengan tangkai lutsinar menujukan komponen elektronik di bahagian dalam sementara pada bahagian atas pula mirip AirPods 3 dengan kekisi berwarna perak dan susunan sensor di bahagian lain.

Masalah utama pada rekaan Ear (stick) adalah ia amat mudah tercalar dan kotor. Baru dua minggu penggunaan, saya sudah nampak habuk di dalam silinder yang sukar dibersihkan. Tetapi tidak dinafikan memutar pod pengecas TWS ini adalah memuaskan dan rasa cool kerana memberikan pengalaman penggunaan yang lain daripada lain. Isu calar ini sudah berlarutan sejak Nothing Ear (1) lagi dan aneh sekali tiada penambah baikan dilakukan untuk menggunakan bahan plastik lutsinar yang lebih tahan lasak bagi menyelesaikannya.

Kualiti Audio

Kualiti audio pada Ear (stick) adalah memuaskan dan lebih baik berbanding Ear (1). Tetapi disebabkan ia bukan jenis dalam telinga (earbuds secara automatik ia bukan kegemaran saya dan saya lebih rela menggunakan Ear (1) kerana saya lebih mementingkan keselesaan untuk penggunaan jangka masa panjang.

Bass/Lows

Dari segi bass, TWS ini memberikan dentuman yang cukup baik untuk jenis separa terbuka. Apa yang boleh saya katakan bass yang dihasilkan tiada definisi dan tidak cukup dalam kerana dentuman yang dihasilkan seakan ada yang kurang dan tidak cukup rancak. Ini kerana ia adalah jenis separa terbuka dan bukan jenis dalam telinga, di mana bass telah tercemar dengan bunyi persekitaran yang tembus ke dalam tanpa ada pengasingan.

Vokal/Mids

Vokal yang TWS ini hasilkan agak memuaskan. Pelbagai muzik yang saya uji, semuanya sesuai dengan diri saya dan rasakan profil audio inilah yang patut Nothing sertakan pada Ear (1) sejak awal lagi. Setiap muzik yang saya dengar semuanya saya hayati dengan penuh khusyuk dan tiada gangguan. Apa yang saya sedari adalah, suara wanita sedikit tenggelam dan suara lelaki adalah lebih lantang dan enak didengari.

Nada Tinggi/Highs

Muzik dengan instrumen yang menghasilkan nada tinggi apabila menggunakan Ear (stick) agak baik. Ia mempunyai tahap nyaring yang baik untuk TWS kelas pertengahan, tidak begitu bingit dan lebih kurang sama dengan Ear (1). Ia juga tidak tenggelam, tetapi apa yang saya harapkan adalah nada tinggi pada TWS ini sepatutnya boleh lebih menyerlah lagi.

Pementasan Audio & Pengasingan

Nothing cuba sedaya upaya mereka untuk menjadikan TWS kelas pertengahan Ear (stick) ini seakan kelas mercu. Tetapi sudah semestinya ia ada had dan untuk TWS ini ia mempunyai pementasan audio yang cuba menjadi lebar tetapi masih rapat ke wajah pengguna. Ia tidak cukup luas memberikan audio yang imersif dan penggunaan jangka masa panjang seperti selepas satu jam boleh rasa lemas dan penat. Pengasingan audio agak baik sebenarnya, setiap instrumen jika diteliti boleh didengari dengan baik.

Mod Sela Masa Rendah

Seperti kebanyakan TWS sekarang, pasti akan ada mod sela masa rendah disertakan. Mod ini biasanya dikhususkan untuk bermain permua dan bukannya untuk muzik, jadi kualiti audio akan diturunkan. Dalam penggunaan saya, mod ini agak baik dan berfungsi dengan sangat lancar.

Mikrofon

Tiga mikrofon disertakan pada Nothing Ear (stick), yang mana mempunyai kualiti definisi tinggi. Dalam aplikasi perakam suara Nothing Phone (1), suara yang dirakam kedengaran sangat jelas dan lantang serta tiada kesan hingar. Malah dalam panggilan suara juga apabila ditanya kepada orang di sisi lagi satu, mereka juga berpuas hati dengan suara saya yang jelas.

Bateri

Untuk Nothing Ear (stick), Nothing menjanjikan ketahanan bateri sehingga 29 jam dengan pod pengecas atau 7 jam secara berterusan. Pengecasan pula adalah melalui USB-C dan tiada sokongan pengecasan nirwayar seperti Ear (1). Setakat dalam penggunaan saya selama lebih sebulan ini, saya boleh katakan ini adalah antara TWS yang saya suka kerana baterinya tahan amat lama.

Penggunaan saya setiap hari adalah sekitar 2 jam sahaja dan saya akan simpan semula di dalam pod pengecas, yang mana setiap fon telinga akan kembali dengan kuasa penuh dan hanya selepas lebih satu minggu baru saya perlu cas semula TWS ini. Dengan kata lain, Ear (stick) tiada masalah bateri dan dakwaan mereka adalah benar serta tempoh pengecasan juga adalah singkat.

Aplikasi Dan Kawalan

Selepas Ear (stick) dilancarkan, Nothing mengemaskini aplikasi Nothing Ear (1) menjadi Nothing X. Aplikasi in boleh didapatkan di Google Play Store dan Apple App Store atau bagi pengguna Nothing Phone (1), Nothing X sedia terbina dalam Nothing OS terus dalam tetapan Bluetooth setiap kali TWS Ear (1) atau Ear (stick) ditambat.

Aplikasi ini adalah amat mudah untuk digunakan kerana ia ringkas dan mesra pengguna. Di laman utama aplikasi, ia memaparkan status bateri kedua-dua fon telinga dan juga pod pengecas. Kemudian ada pilihan mengubah kawalan untuk picit seperti picit sekali pada tangkai untuk menjeda muzik, dan picit dengan lebih lama untuk menyeru pembantu digital pada telefon yang digunakan.

Di laman utama aplikasi turut ada equaliser untuk pengguna memilih profil audio yang sesuai dengan citarasa masing-masing. Tetapi saya menggunakan mod Balanced kerana ia paling selesa dan seimbang untuk majoriti situasi ia digunakan.

Aplikasi juga mudah digunakan dan turut hadir dengan ciri untuk mengemaskini firmware, mencari fon telinga hilang dan menambat Ear (1) dan Ear (stick) serentak. Dalam aplikasi ini juga, terdapat kawalan untuk hidup/matikan ciri auto-jeda, mod sela masa rendah, atau juga menghidupkan codec HD Audio AAC.

Pemasangan aplikasi Nothing X amat kami sarankan kepada pemilik Ear (stick) kerana pelbagai kustomasi ciri hanya boleh diubah menggunakannya. Tanpa Nothing X, fon telinga masih boleh dipakai tetapi akan menjadi terlalu terhad. Hanya pengguna Nothing Phone (1) tidak perlu memutat turun kerana ciri ini terbina terus pada sistem operasi peranti.

Dalam Kotak

Ini adalah kandungan dalam kotak dengan setiap pembelian Nothing Ear (stick).

  • Satu unit Nothing Ear (stick)
  • Kabel pengecas USB-C ke USB-C
  • Manual

Kesimpulan

Nothing Ear (stick) tidak dinafikan adalah TWS yang baik dengan audio yang mantap, enak dan memuaskan. Ia juga sekali lagi hadir dengan rekaan yang sangat unik, memberikan pengalaman penggunaan yang menarik dan cuba menarik perhatian orang ramai mengenai betapa istimewa produk ini. Cuma sayang sekali, harga jualannya adalah RM469.

Untuk TWS jenis separa terbuka atau earbud harga melebihi RM400 ini adalah agak mahal. Ear (stick) juga tidak mempunyai sokongan ANC yang mana pada harga ini sepatutnya disertakan sekali. Untuk saya, saya lebih sarankan anda beli Nothing Ear (1) kerana mempunyai kualiti audio yang lebih mantap selepas berbelas versi kemas kini, menyokong ANC, pengecasan nirwayar, rekaan yang lebih cantik dan ringkas serta beberapa penjual sudah menjualnya pada harga sekitar RM400 juga.


Pro

  • Audio yang cukup mantap.
  • Rekaan yang unik dan menarik.
  • Kawalan yang mudah dengan hanya picit pada tangkai.
  • Aplikasi Nothing X yang mesra pengguna.

Kontra

  • Bukan jenis dalam telinga.
  • Tiada sokongan ANC dan pengecasan nirwayar.
  • Tubuh yang mudah kotor dan calar yang sukar untuk dicuci.
  • Harga jualan yang agak tinggi untuk jenis earbud.
Komen