Carian
Pelancaran Nubia Red Magic 8 Pro Dijadualkan Berlangsung Pada 26 Disember
December 20, 2022 Amy Maizuraa

Biarpun sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri, ia tidak menghalang Nubia untuk terus menyediakan lebih banyak pilihan buat pengguna. Misalnya seperti telefon pintar permua di bawah siri Red Magic yang akan diperhebatkan lagi dengan kehadiran RedMagic 8 Pro kelak.

Pelancaran rasminya telah dijadualkan berlangsung di China pada 26 Disember hadapan. Dalam masa sama, laman ruang pratempahan di China juga telah mula dibuka sejak beberapa hari lepas. Tetapi sayangnya, tiada maklumat mengenai spesifikasi yang didedahkan secara rasmi setakat ini.

Seperti pendahulunya, ia dijangka masih mengekalkan perkakasan dalaman yang berkelas mercu, di mana cip Snapdragon 8 Gen 2 bakal digunakan. Penyenaraian TEENA turut mendedahkan skrin OLED sebesar 6.8-inci mungkin disertakan, di samping padanan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 1TB.

Turut disertakan adalah dua pilihan untuk kapasiti bateri, sama ada sebesar 5,000mAh atau 6,000mAh. Begitu juga dengan sokongan kamera swafoto di bawah skrin seumpama generasi terdahulu mungkin dikekalkan.

Komen