Rekaan Red Magic 8 Pro Didedahkan – Hampir Nirbingkai Penuh

Diterbitkan pada Dis 21, 2022. oleh .

Semalam telah kami laporkan yang Redmagic akan melancarkan peranti gaming baharu mereka iaitu Redmagic 8 Pro pada 26 Disember akan datang. Peranti sudah pun disahkan akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 dan akan menggunakan skrin dengan teknologi kamera bawah skrin baharu.

Melalui Weibo, Redmagic turut mendedahkan rekaan rasmi peranti Redmagic 8 Pro. Ia menggunakan rekaan segi empat yang rata pada setiap sisi serta atas dan bawah peranti. Rekaan berkotak ini nampak seksi dan kelihatan sedikit tebal.

Redmagic 8 Pro dilihat meletakkan butang aras suara di sisi kiri bersama dengan satu butang yang kelihatan seakan butang sesentuh. Siri kanan pula ada butang fizikal misteri berwarna merah dengan tekstur tersendiri serta satu lagi butang yang jelas sekali kelihatan seakan butang kuasa. Atas dan bawah peranti memaparkan rekaan kekisi speaker yang kemas dan ringkas.

Panel belakang peranti dilihat mempunyai dua variasi, satu jenis kasar seakan kertas pasir dan satu lagi jenis lutsinar yang menampakkan kipas RGB serta lokasi komponen penting. Paling cantik dan paling tidak sabar untuk kami di Amanz saksikan sendiri di depan mata adalah skrin peranti ini. Ia menggunakan bezel yang sangat nipis kelihatan seakan nirbingkai. Menurut Redmagic, nisbah skrin-ke-badan adalah 93.7% dengan bezel setiap sisi adalah 1.48mm sahaja. Redmagic menyatakan melalui Weibo, mereka menggunakan panel skrin dari BOE untuk menjayakan rekaan ini.

Bukan itu sahaja, Redmagic turut memperlihatkan logo baharu untuk jenama mereka. Logo merah kelihatan lebih nipis dengan warna merah yang lebih menyala berserta muka taip yang lebih ranggi.

komen


© Amanz / 2023 Kami