Lenovo ThinkPad X1 Carbon Gen 11, ThinkPad X1 Yoga Gen 8 Dan ThinkPad X1 Nano Gen 3 Kini Lebih Mesra Alam

Diterbitkan pada Dis 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Lenovo ThinkPad X1 Carbon Gen 11, ThinkPad X1 Yoga Gen 8 dan ThinkPad X1 Nano Gen 3 generasi baharu diumumkan hari sebelum acara CES 2023. Tahun ini Lenovo memberikan tumpuan kepada komputer riba yang lebih mesra alam bukan sahaja pada komponen ia dibina tetapi juga pada bungkusannya. Sebagai contoh sehingga 90% tubuh komputer riba diperbuat daripada bahan aluminium yang telah dikitar semula manakala bungkusan pula diperbuat 100% daripada buluh.

Lenovo ThinkPad X1 Carbon Gen 11 dilengkapi skrin 14″ OLED sehingga 2.8K, dijana cip Intel Core Gen-13 memori sehingga 64GB LPDDR5, storan sehingga 2TB Gen 4 PCIe NVMe SSD dan bateri 57 Whr. Seperti ThinkPad terdahulu, ia melepasi piawaian tahan lasak tentera MIL-STD 810H.

Pada waktu yang sama memenuhi keperluan pekerja moden, komputer riba ini menyokong rangkaian 5G menerusi SIM dan eSIM. Menarik sekali X1 Carbon menyokong sistem Tile yang membolehkan ia dijejak menggunakan aplikasi.

Ciri menarik lain ialah kamera infra merah yang boleh mengimbas wajah menggunakan Windows Hello yang boleh ditutup menggunakan sistem Think Shutter secara fizikal. Pengimbas cap jari turut disertakan bagi mereka yang lebih selesa menggunakan sistem biometrik ini. Dari segi audio pula, terdapat sokongan Dolby Atmos. Pilihan I/O pula ialah 2x Thunderbolt 4, 2x USB-A 3.2, 1x HDMI 2.0b dan 1 bicu audio 3.5mm.

ThinkPad X1 Yoga Gen 8 pula mempunyai spesifikasi yang sama dengan X1 Carbon Gen 11 cuma skrin 14″ beresolusi WQUXGA 4K dengan sokongan sentuhan. Skrin X1 Yoga Gen 8 juga boleh diputarkan 360 darjah untuk menjadi sebuah tablet. Pilihan I/O, bateri, kemampuan tahan lasak, 5G dan penjejakan juga tiada perubahan degan X1 Carbon. Berat keseluruhan komputer riba ini ialah 1.38 kilogram.

Akhir sekali ialah ThinkPad X1 Nano Gen 3 yang mempunyai rekaan nipis dan tubuh yang ringan sekitar 970 gram sahaja. Skrin lebih kecil 13″ 2K dengan sentuhan dipadankan dengan cip Intel Core Gen-13, memori 16GB LPDDR5, storan 1TB Gen 4 PCIe NVMe SSD dan bateri 49.6 Whr. Spesifikasi lain adalah sama dengan X1 Carbon dan X1 Yoga di atas.

ThinkPad X1 Carbon Gen 11 dijual pada harga bermula $1729 (~RM7672), ThinkPad X1 Yoga Gen 8 dijual pada harga $1859 (~RM8249) dan ThinkPad X1 Nano Gen 3 dijual bermula $1649 (~RM7317) sekitar April 2023.

komen


© Amanz / 2023 Kami