Lenovo Go Desk Station Adalah Lampu Meja Dengan Kamera Web Dan Pengecas Qi Terbina

Diterbitkan pada Dis 21, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pencahayaan yang baik amat diperlukan untuk pengalaman panggilan video memuaskan. Lenovo kini hadir dengan penyelesaian unik untuknya dengan memperkenalkan lampu meja bersama kamera web terbina, dikenali sebagai Lenovo Go Desk Station. Menarik lagi mengenainya, ia turut menyertakan pengecas Qi terbina yang boleh ditarik keluar daripada kaki lampu sekiranya perlu.

Melalui Lenovo Go Desk Station, ia boleh digabungkan dengan kamera web beresolusi maksimum 4K/30fps bersama pengatup fizikal untuk tujuan keselamatan. Sebagai pilihan, kamera web Lenovo Go 4K Pro Webcam ini boleh didapati secara kendiri. Di mana, ia turut memuatkan beberapa ciri tambahan seperti sokongan fokus dan pelarasan cahaya ambien secara automatik.

Turut disertakan adalah sokongan sudut dan ketinggan lampu yang boleh dilaras. Di samping kawalan kecerahan sesentuh yang menyediakan tiga pilihan tetapan, sama ada 3000K, 4500K atau 6500K dengan kecerahan sehingga 1600 lux pada 0.5m. Ia juga memuatkan port USB-C dengan kuasa output mencapai 135W yang boleh digunakan untuk mengecas komputer riba.

Dalam masa sama, terdapat juga sokongan dua port USB Type-A 3.1 dan port output HDMI 2.0 untuk menyambungkan paparan tambahan dengan resolusi sehingga 4K pada 60fps. Pad pengecas Qi terbina pula menyokong kuasa output 15W, selain terdapat juga port USB Type-C 20W tersedia di bahagian hadapan.

Lenovo Go Desk Station akan tersedia bermula April 2023 dengan harga permulaan $329 (~RM1459). Sementara itu, Lenovo Go 4K Pro Webcam pula berharga bermula $149.99 (~RM665) dengan ketersediaan bermula Mac 2023.

komen


© Amanz / 2023 Kami