Carian
Papan Kekunci Mekanikal Ini Mempunyai Skrin LCD Terbina
December 22, 2022 Effi Saharudin

Pengguna PC gemar menggunakan papan kekunci mekanikal dengan sistem lampu LED yang boleh dikustomasi untuk memaparkan pelbagai warna. Tetapi ia masih lagi terhad kerana penggunaan satu lampu untuk setiap kekunci. Finalmouse Centerpiece merealisasikan impian untuk memaparkan video, GIF dan animasi sepenuhnya pada semua butang kekunci.

Centerpiece dilengkapi sebuah skrin LCD yang diberikan nama Laminated DisplayCircuit Glass Stack (LDGS) di belakang butang kekunci yang lutsinar. Suis yang digunakan pula dibangunkan bersama Gateron. Menurut Finalmouse, sebanyak tiga animasi boleh disimpan dalam memori Centerpiece dengan terdapat butang fizikal khas pada sisi untuk mengubahnya pada bila-bil masa.

Animasi baharu boleh dimuat turun menggunakan akaun Steam dengan sambungan kepada PC dilakukan menggunakan satu kabel USB-C. Terdapat CPU dan GPU terbina dalam Centerpiece supaya ia tidak menggunakan kuasa memproses PC ia disambung. Finalmouse Centerpiece akan dijual bermula awal 2023 pada harga $349 (~RM1547).

Komen