Mobvoi sehingga hari ini masih terkenal sebagai jenama yang menawarkan jam tangan pintar Wear OS yang mampu milik, berkuasa, boleh dikatakan premium serta menjaga kemaskini dengan baik. Tetapi sejak kebelakangan ini, mereka telah dikecam teruk oleh pengguna setia kerana masih tidak mengedarkan kemaskini Wear OS 3.0 seperti yang dijanjikan.
Mobvoi turut mempunyai banyak produk lain, termasuk jam tangan pintar asas seperti TicWatch GTH 2. Terkini, mereka telah memperkenalkan perkhidmatan langganan baharu khusus untuk pengguna TicWatch GTH 2.
Langganan ini adalah melalui aplikasi Mobvoi, di mana ia menaiktaraf kemampuan pemantauan dan penjejakan tidur serta analisis kesihatan pengguna. Terdapat lebih 50 lagu untuk membantu pengguna tidur, peringatan untuk tidur yang sempurna, memaparkan corak tidur secara mingguan atau bulanan, menyahkunci paparan data max/min untuk imbasan nadi dan SpO2, dan beberapa lagi.
Langganan ini digelar sebagai ciri VIP dan dilihat masih terhad untuk pengguna GTH 2 sahaja. Pengguna jam ini akan dapat langganan percuma selama 6 bulan. Pengguna terawal boleh melanggan pada harga $2.99 (~RM13.24) sebulan sebelum berubah menjadi $4.99 (~RM22.10) sebulan.