Lenovo IdeaPad Pro 5i Dan Pro 5 Gen 8 Dilancarkan Dengan Dua Pilihan Saiz Skrin

Diterbitkan pada Dis 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Komputer riba di bawah siri Lenovo Ideapad direka khusus untuk prestasi harian yang baik dengan nilai harga memadai. Dalam usaha memberi lebih pilihan buat pengguna, kini dua lagi model baharu diumumkan menerusi Lenovo IdeaPad Pro 5i dan Lenovo Pro 5 Gen 8.

Kedua-duanya hadir dengan dua pilihan saiz skrin bagi membolehkan pengguna memilih yang sesuai dengan keperluan. Begitu juga dengan sokongan CPU yang berbeza diantara keduanya, di mana cip AMD digunakan pada IdeaPad Pro 5i, manakala IdeaPad Pro 5 Gen 8 pula dijana dengan CPU Intel.

Kita mulakan dengan IdeaPad Pro 5i yang menawarkan skrin 14-inci IPS LCD beresolusi 2.8K dengan kecerahan puncak 400nits. Sementara itu, variasi 16-inci pula menawarkan skrin IPS LCD beresolusi 2.5K dengan kecerahan puncak 350nit.

Ciri tambahan lain yang turut disokong oleh kedua-duanya, termasuklah kadar segar semula 120Hz, nisbah aspek 16:10 dan kemampuan memaparkan 100% daripada warna gamut DCI-P3. Selain itu, sokongan kamera beresolusi FHD dengan sokongan infra-merah dan sesor Time of Flight turut disertakan.

Seterusnya pemproses AMD Ryzen 7 generasi ketujuh digunakan pada IdeaPad Pro 5. Sementara itu, IdeaPad Pro 5i pula menggunakan CPU Intel generasi terkini. Kedua-duanya juga menampilkan dua pilihan GPU, sama ada AMD Integrated Graphics atau NVIDIA GeForce baharu bergantung pada variasi masing-masing. Pilihan memori yang disediakan adalah sehingga 16GB RAM DDR 4 dan storan terbina pula mencapai 1TB M.2 PCle SSD.

Dari segi ketahanan, kedua-duanya memuatkan kapasiti bateri 75Whr. Pilihan I/O yang disediakan pula terdiri dengan 1 x USB Type-C Thunderbolt 4.0, 1 x USB 3.2 Gen 1 Type-C, 2 x USB 3.2 Gen 1 Type-A, 1 x HDMI 2.1, 1 x SD Card dan bicu audio 3.5mm. Tidak ketinggalan, dua pembesar suara dengan Dolby Atmos turut disertakan pada komputer riba.

IdeaPad Pro 5i (14″) dijual dengan harga permulaan 999€ (~RM4705) bermula April 2023, sementara itu IdeaPad Pro 5i (16″) pula bermula $1499.99 (~RM6,639) pada Mei 2023. Seterusnya, IdeaPad Pro 5 Gen 8 (14″) pula berharga bermula 999€ (~RM4705) sekitar Julai 2023, kemudian, variasi 16-inci pula ditawarkan serendah 1399€ (~RM6591) bermula April 2023.

komen


© Amanz / 2023 Kami