Cari @ Amanz

Siapa di antara pembaca Amanz yang mendengar lagu sambil bersenam? Saya jika berlari di sawat injak (treadmill) saya gemar menonton siri TV atau video pendek dan jarang mendengarkan lagu. Kebanyakan platform penstriman muzik sekarang, ada menawarkan pelbagai jenis senarai main dan ada juga yang khusus untuk bersenam.

Spotify tidak asing dengan penawaran senarai main yang pelbagai. Dalam laporan 9to5Mac, Spotify dikatakan mengintegrasikan aplikasi iOS mereka dengan Apple HealthKit. Ini adalah untuk membenarkan Spotify membaca data kesihatan dan kecergasan pengguna agar boleh mencadangkan senarai main mengikut kesesuaian masing-masing.

Sudah semestinya, jika ciri ini ditawarkan ia tidak akan berlaku secara automatik. Sebaliknya Spotify perlu meminta izin pengguna untuk mengakses data dalam aplikasi Health Apple. Dengan ciri ini nanti, Spotify boleh mencari lagu yang boleh memotivasikan pengguna mengikut keadaan tubuh masing-masing untuk terus bersenam dan kekal sihat.

Buat masa ini, ia masih lagi dalam pembangunan dan tidak pasti bila ciri ini akan diperkenalkan kepada semua. Apa kata anda mengenai ciri ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd