Asus ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition Kini Di Malaysia Pada Harga RM4999

Diterbitkan pada Dis 23, 2022. oleh .

Ketersediaan Asus ROG Phone 6 Diablo Immortal Edition di Malaysia kini diumumkan secara rasmi dengan harga RM4,999 (16GB/512GB). Turut disertakan adalah jaminan waranti tambahan selama setahun yang diberikan percuma dengan setiap pembelian. Lebih menarik, mana-mana 50 pembeli terawal layak untuk mendapatkan hadiah eksklusif bernilai RM100.

Tiada sebarang perubahan dari aspek spesifikasi yang dibuat, tetapi telefon pintar ini menerima kemasan khas yang diilhamkan daripada permainan Diablo Immortal. Dalam masa sama, tiada sokongan skrin LED disertakan, sebaliknya panel belakang kini menggunakan tema serba hitam-merah bersama watak Diablo dan logo ROG. Turut dimuatkan adalah pelbagai pilihan kertas dinding beranimasi bertemakan permainan itu sendiri yang boleh digunakan untuk sebilangan fungsi termasuk, animasi panggilan masuk.

Edisi khas ini juga didatangkan dengan kotak bungkusan eksklusif yang memuatkan beberapa aksesori menarik bertemakan Diablo. Ini termasuklah kerangka khas, pencungkil SIM kemasan emas, peta, kabel USB-C dan kepala pengecas 65W. Bersama-sama pengenalan ini, kipas AeroActive Cooler 6 untuk ROG Phone 5/5s turut diumumkan di Malaysia dengan harga jualan RM349.

komen


© Amanz / 2023 Kami