Cari @ Amanz

Intel baru sahaja melancarkan siri cip pemprosesan generasi ke-13 Raptor Lake mereka tidak lama dahulu, dan memperlihatkan kebolehan untuk dilewahjam ke 5GHz menggunakan penyejuk udara sahaja.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa pasukan melewahjam ASUS ROG telah berjaya untuk melewahjamkan cip pemprosesan Intel Core i9-13900K sehingga 9.009GHz dan menggerakkan beberapa ujian penanda-aras untuk sementara.

Papan induk yang digunakan untuk rekod dunia ini ialah ASUS ROG Maximus Z790 Apex, dengan teras-teras kecekapan (Efficiency cores) ditutup, menggunakan lapan teras prestasi (Performance cores) dan lapan bebenang kuasa sahaja.

Ujian penanda-aras yang digunakan ialah Pifast untuk 6.85 saat dan juga SuperPi 32M untuk 3 minit 3 saat.

Menyejukkan cip pemprosesan ini ialah gabungan cecair helium dan nitrogen pada suhu serendah 250 Celcius yang tidak mempunyai banyak perubahan suhu. Ini adalah bagus untuk mengelakkan kondensasi berlaku pada bahagian cip pemprosesan.

ASUS dan Intel kini dilihat memegang rekod kelajuan cip pemprosesan yang terpantas, melangkaui rekod AMD FX-8370 yang mencatatkan skor 8.7GHz sebelum ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd