Siri Vivo S16 akhirnya diumumkan secara rasminya di China, hari ini. Ianya terdiri dengan tiga variasi berbeza yang merangkumi Vivo S16, S16 Pro dan S16e. Elemen kemasan yang digunakan tampak mirip antara satu sama lain, namun terdapat perbezaan dari aspek perkakasan dalaman.
Vivo S16 dan S16 Pro dilengkapi skrin AMOLED sebesar 6.78-inci FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip MediaTek Dimensity 8200 untuk S16 Pro, sementara itu S16 pula menggunakan Snapdragon 870.
Untuk tetapan kamera, tri-kamera utama digunakan dengan tetapan 64MP + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro) pada model S16. Sementara itu, model pro pula terdiri dengan 50MP (OIS) + 12MP (ultra-lebar) + 2MP (makro). Turut disertakan adalah kamera swafoto 50MP pada kedua-dua telefon pintar ini.
Pilihan memori pula sehingga 12GB RAM dengan padanan storan dalaman mencapai 512GB. Kemudian, bateri 4,600mAh yang disertakan menyokong sistem pengecasan berwayar 66W. Kesemua ciri dinyatakan tersebut telah dimuatkan ke dalam sebuah telefon pintar dengan tubuh melengkung pada panel hadapan dan belakang.
Seterusnya Vivo S16e yang merupakan sebuah telefon pintar dengan tubuh berkotak. Skrin hadapan adalah sejenis berlubang dengan saiz 6.62-inci AMOLED FHD+ yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Cip Exynos 1080 digunakan sebagai tunjang utama, di samping pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB.
Kapasiti bateri adalah sebesar 4,600mAh dengan pengecasan berwayar 66W. Turut disertakan adalah kamera utama 50MP + 2MP (makro) + 2MP (kedalaman) dan kamera swafoto pula sebesar 16MP. Lain-lain spesifikasi termasuklah menjalankan OriginOS 3.0 berasaskan Android 13.
Untuk harga , S16 dijual dengan harga permulaan RMB2499 (~RM1582), RMB2699 (~RM1708) dan RMB2999 (~RM1898). Manakala, variasi pro pula bermula RMB3299 (~RM2,088) (12GB/256GB) dan RMB3599 (~RM2,278) (12GB/512GB).
Akhir sekali, S16e pula berharga RMB2099 (~RM1328) (8GB/128GB), RMB2299 (~RM1455) (8GB/256GB) dan RMB2499 (~RM1582) (12GB/256GB). Buat masa ini, tiada maklumat mengenai ketersediaan untuk luar pasaran China.