Carian
Pengecas Tesla Boleh Mengecas Tiga Peranti Serentak Secara Nirwayar
December 23, 2022 Effi Saharudin

Tesla telah melancarkan sebuah pengecas nirwayar Qi yang boleh menyokong sehingga tiga peranti serentak. Yang menjadikannya menarik ialah peranti boleh dicas tanpa mengira dimana ia diletakkan. Ini ialah ciri yang cuba diberikan Apple AirPower tetapi produk dibatalkan selepas isu pemanasan gagal diselesaikan.

Setiap peranti boleh dicas secara nirwayar pada kuasa maksimum 15W. Untuk membolehkan peranti dicas tidak kira di mana ia diletakkan pada pad pengecas, sebanyak 30 gegelung pengecas digunakan. Teknologi yang dibangunkan oleh FreePower digunakan untuk membolehkan ciri ini digunakan.

Dari segi rekaan pengecas ini mengambil inspirasi daripada Cybertruck. Permukaan pelapik pengecas diperbuat daripada bahan alcantara bagi mengelakkan peranti tercalar. Bahagian tapak boleh ditanggalkan dengan mudah kerana hanya menggunakan sambungan magnet. Pengecas nirwayar Tesla dijual pada harga $300 (~RM1328) bermula Februari 2023.

Komen