Cari @ Amanz

Sejak Google Pixel 6 diperkenalkan, telefon pintar yang Google tawarkan menjadi semakin baik dan boleh diterima oleh orang ramai. Berdasarkan pemantauan sendiri, Pixel 6a dan Pixel 7 adalah antara yang paling popular.

Terkini Android Authority telah menerima informasi untuk barisan peranti Pixel yang akan dilancarkan sepanjang tahun 2023 sehingga ke tahun 2025. Pertama sekali adalah peranti dengan kod nama lynx dan felix yang dijangka adalah peranti dengan skrin boleh-lipat Pixel pertama, Pixel Fold dan juga Pixel 7a. Kedua-dua peranti ini dijangka akan dilancarkan pada bulan April atau Mei 2023 semasa acara Google I/O 2023 nanti.

Seterusnya adalah siri Pixel 8, di mana tiada perubahan besar akan berlaku. Pixel 8 dijangka akan menawarkan ciri dan fungsi lebih kurang sama dalam saiz yang lebih kecil, sementara Pixel 8 Pro dikatakan adalah lebih kurang sahaja dengan Pixel 7 Pro. Kami ada laporkan yang Pixel 8 mungkin hadir dengan sensor ISOCELL GN2 dan sokongan sistem HDR baharu dan kod nama peranti ini adalah shiba dan husky. Peranti-peranti ini juga dijangka akan dijana dengan cip Google Tensor G3 dengan kod nama zuma.

Seterusnya pada tahun 2024, Google dijangka akan mengubah strategi pengeluaran siri Pixel A sepenuhnya dengan Pixel 8a. Tetapi pelancaran produk ini adalah berdasarkan prestasi jualan Pixel 7a, kerana Google mungkin akan meningkatkan harga jualan dan menyertakan ciri yang lebih ke arah peranti mercu.

Dalam tahun 2024 juga, untuk siri Pixel 9 Google dikatakan akan melancarkan tiga peranti serentak. Pixel 9 akan lebih kurang sama dengan Pixel 7 dari segi saiz dan konsep, kemudian peranti dengan kod nama komodo adalah untuk Pixel 9 Pro dengan saiz skrin 6.7-inci serta satu peranti dengan kod nama caiman adalah peranti bertaraf Pro tetapi saiz skrin 6.3-inci. Ketiga-tiga peranti ini dikatakan akan dijana dengan cip Google Tensor G4 yang kini menggunakan kod nama redondo. 2024 Google mungkin akan hadir dengan satu lagi peranti dengan skrin boleh-lipat tetapi bergantung kepada sambutan Pixel Fold.

Akhir sekali pada tahun 2025, Google akan hadir dengan pesaing kepada Samsung Galaxy Z Flip – mungkin Pixel Flip? Tetapi juga bergantung kepada sambutan orang ramai. Jika tidak ramai pengguna menggemari peranti dengan skrin boleh-lipat Google, akan ada empat peranti Pixel biasa yang dijangka adalah siri Pixel 10.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd