RHB “Get Your Hack On” 2023 Terbuka Untuk Startup Di Asia Tenggara – Tawar Hadiah Lebih USD10,000

Diterbitkan pada Dis 24, 2022. oleh .

Tidak dinafikan, terdapat pelbagai program disediakan bagi membantu para startup memaksimumkan potensi produk agar lebih bersedia untuk pasaran. Salah satu daripadanya adalah program RHB “Get Your Hack On”, yang kini kembali membuka tirainya bagi mencari bakat baharu yang berpotensi mencipta penyelesaian inovatif dalam industri perbankan digital.

Program ini akan diadakan secara maya bermula 13 hingga 15 Januari 2023, di mana setiap kumpulan yang menyertai haruslah terdiri di antara 3-5 orang individu. Menariknya lagi, penyertaan dibuka kepada semua individu yang menetap secara sah di negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), termasuklah Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Tiada yuran pendaftaran yang dikenakan, malahan pihak penganjur yang akan menguruskan segala tentatif bagi memastikan semua peserta mempunyai pengalaman program yang memuaskan. Seterusnya, para peserta perlu memilih salah satu daripada lima cabaran yang tersedia untuk diselesaikan. Cabaran-cabaran tersebut adalah seperti :

  • Cabaran 1 – Bagaimanakah kita boleh menyesuaikan penyelesaian perbankan kepada graduan baru untuk berkembang bersama mereka?
  • Cabaran 2 – Bagaimanakah RHB dapat menyampaikan pengalaman yang bernilai kepada pelanggan untuk memenuhi keperluan mereka melalui platform digital?
  • Cabaran 3 – Bagaimanakah untuk membantu golongan muda dalam membangunkan celik kewangan bagi mengembangkan kekayaan mereka pada usia muda?
  • Cabaran 4 – Bagaimanakah untuk melancarkan penyelesaian digital yang luar biasa bagi segmen bisnes kecil untuk menyokong pertumbuhannya?
  • Cabaran 5 – Bagaimanakah untuk memperluaskan rangkaian pengedaran insurans RHB bagi memenuhi keperluan komuniti dengan lebih baik?

Mana-mana 10 pasukan terbaik yang berjaya disenarai pendek kelak akan membentangkan projek di pusingan akhir yang berlangsung pada 28 Januari 2023. Keseluruhan hasil kerja akan dinilai berdasarkan kebolehan para peserta membangunkan idea unik untuk penyelesaian yang baik, di samping keupayaan teknikal yang kreatif.

Pelbagai hadiah lumayan disediakan, termasuklah peluang untuk memenangi wang tunai bernilai sehingga USD10,000 (~RM44,220). Di mana, pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai sebanyak USD5000 (~RM22,110).

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan memenangi sebanyak USD2500 (~RM11,055) dan USD1000 (~RM4,422). Tidak ketinggalan, terdapat juga hadiah saguhati bernilai USD200 (~RM884.40) untuk 7 pasukan seterusnya.

Bagi yang berminat, pendaftaran sudah dibuka selewat-lewatnya sehingga 9 Januari 2023. Untuk makluman lebih lanjut, sila layari pautan yang disediakan di bawah.

komen


© Amanz / 2023 Kami