Carian
Huawei, ZTE, Dan Tencent Menyertai RISC-V – Kumpulan Pembangunan Cip Sumber Terbuka
December 25, 2022 Aman

Pada hari ini, pengeluar cip perlu membayar royalti kepada pihak seperti Arm dan juga Intel dalam penggunaan rekaan cip mereka. Dan dengan pelbagai halangan dan sekatan dagangan yang mula diimplementasi negara seperti Amerika Syarikat, beberapa pihak mula melihat kepada alternatifnya.

Dalam langkah tersebut, salah satu usaha yang kini menerima sokongan pelbagai pihak adalah RISC-V.

RISC-V merupakan usaha dalam bentuk sumber terbuka yang menawarkan rekaan cip yang boleh digunakan dalam pembangunan sebarang perkakasan atau perisian – tanpa perlu membayar royalti. Ia juga turut disertai pihak dari dunia akademik dalam pembangunannya.

Terbaru, disebabkan oleh halangan dagangan oleh pihak Amerika Syarikat, projek RISC-V ini dilihat menerima sokongan pelbagai syarikat dari China. Pada hari ini, sekitar 13 ahli daripada keseluruhan 25 ahli premier untuk RISC-V adalah dari China.

Ini adalah termasuk syarikat seperti Huawei, ZTE, Alibaba Cloud, dan terbaru adalah Tencent.

Disamping syarikat tersebut, ia juga sedia disertai oleh Google, intel, Qualcomm dan juga Seagate.

Dengan menjadi ahli premier berbayar, ia membolehkan syarikat ini menerima kebolehan untuk mengundi hala tuju dan beberapa kelebihan lain.

Pembangunan RISC-V boleh dikatakan masih pada peringkat awal pada hari ini, tetapi seperti pelbagai projek sumber terbuka yang lain, tidak mustahil projek ini turut menjadi perhatian dalam tempoh sedekad dua lagi.

Komen