Siri Red Magic 8 Pro Kini Rasmi – Dijana Cip Snapdragon 8 Gen 2 Dan Pengecasan 165W

Diterbitkan pada Dis 26, 2022. oleh .

Peranti yang memfokuskan permua keluaran Nubia di bawah siri Red Magic akhirnya diperkenalkan secara rasmi hari ini. Terdapat dua variasi berbeza diumumkan yang terdiri dengan Red Magic 8 Pro dan Red Magic 8 Pro+. Terdapat banyak persamaan diantara kedua-duanya, baik dari segi rekaan mahupun perkakasan dalaman. Perbezaan ketara hanyalah pada kapasiti bateri dan sistem pengecasan yang disertakan.

Elemen rekaan yang digunakan untuk kali ini nampak lebih menarik dengan tubuh segi empat yang rata pada kesemua sisi. Panel hadapan menunjukkan saiz bezel yang hampir nirbingkai yang dipadankan dengan panel belakang sejenis telus atau hitam gelap sepenuhnya. Turut disertakan adalah sistem tri-kamera yang disusun menegak dan sokongan kipas RGB fizikal yang boleh dilihat dengan jelas pada variasi panel belakang lut sinar.

Skrin adalah sebesar 6.8-inci OLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz dan nisbah skrin-ke-badan mencapai 93.7%. Cip Snapdragon 8 Gen 2 digunakan dengan gabungan memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman mencapai 1TB. Kamera utama pula terdiri dengan 50MP (utama) + 8MP (ultra-lebar) + 2MP (makro), manakala kamera swafoto 16MP yang ditempatkan di bawah skrin.

Kapasiti bateri untuk RedMagic 8 Pro adalah 6000mAh dengan pengesan berwayar 80W. Seterusnya, bateri sebesar 5000mAh pula digunakan pada variasi Pro+ yang turut menyokong sistem pengecasan pantas 165W. Lain-lain spesifikasi termasuklah, pembesar suara stereo dan menjalankan RedMagic OS 6.0 berasaskan Android 13.

Di China, harga jualan untuk kedua-dua telefon pintar ini adalah seperti di bawah:

  • Red Magic 8 Pro (8/128GB) – RMB3,999 (~RM2540)
  • Red Magic 8 Pro (8/256GB) – RMB4,399 (~RM2794)
  • Red Magic 8 Pro (12/256GB) – RMB4,799 (~RM3,048)
  • Red Magic 8 Pro (Edisi lut sinar 12/256GB) – RMB4,999 (~RM3175)
  • Red Magic 8 Pro+ (12/256GB) – RMB5,199 (~RM3302)
  • Red Magic 8 Pro+ (16/512GB) – RMB5,799 (~RM3684)
  • Red Magic 8 Pro+ (Edisi lut sinar 12/256GB) – RMB5,399 (~RM3430)
  • Red Magic 8 Pro+ (Edisi lut sinar 16/512GB) – RMB5,999 (~RM3811)
  • Red Magic 8 Pro+ (Edisi lut sinar 16/1TB) – RMB6,999 (~RM4446)

Tiada maklumat lanjut mengenai ketersediaan untuk pasaran luar yang diketahui setakat ini.

komen


© Amanz / 2023 Kami