Touch n Go eWallet Kini Mula Menawarkan Kebolehan Mohon Kad Prabayar VISA Melalui Aplikasi

Diterbitkan pada Dis 27, 2022. oleh .

Touch n Go eWallet kini dilihat telah mula menawarkan kebolehan untuk memohon “Visa Card” melalui aplikasi, untuk sejumlah pengguna. Ciri ini dilihat sedang diperkenalkan secara berperingkat, dan hanya ditawarkan kepada beberapa pengguna secara terhad buat masa ini.

Melalui aplikasi TNG eWallet, ia memaparkan ikon bernama “Visa Card”, dan pengguna boleh melakukan permohonan kad prabayar Visa melaluinya.

Kad prabayar ini dipautkan kepada baki akaun TNG eWallet pengguna, dan boleh digunakan untuk pembayaran di sejumlah terminal yang menerima pembayaran melalui kad Visa. Disamping itu, pengguna juga boleh melakukan pengeluaran duit melalui ATM yang menyokong kad Visa ini, disamping menggunakan kad ini untuk pembelian secara atas-talian.

Melalui dokumen TNC yang disertakan dalam aplikasi, ia memperlihatkan Yuran Permohonan kad tersebut adalah sebanyak RM10 untuk setiap permohonan. Tetapi, melalui permohonan pada aplikasi, ia memperlihatkan caj sebanyak RM5 (berkemungkinan kerana tempoh promosi). Selain itu, kad ini juga dilihat mempunyai yuran tahunan sebanyak RM18 (yang turut diberikan percuma untuk tempoh promosi).

Sebaik sahaja selesai memohon, pengguna dijangka akan menerima kad prabayar Visa mereka dalam tempoh 10 hari. Pengguna kemudiannya akan perlu mengaktifkan kad dan menetapkan Pin 6-digit untuk kad Visa tersebut bagi tujuan transaksi. Proses ini akan dilakukan menggunakan aplikasi TNG eWallet.

Buat masa ini, ciri memohon ini diperkenalkan secara berperingkat, dan mungkin boleh diakses oleh semua dalam masa terdekat.

komen


© Amanz / 2023 Kami