OnePlus 11 akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran global pada 7 Februari 2023 nanti. Tetapi di China, peranti ini akan dilancarkan sebulan lebih awal iaitu pada 4 Januari 2023 – minggu hadapan. Untuk itu, OnePlus di China telah berkongsi rekaan rasmi dan beberapa spesifikasi utama peranti ini.
Pertama sekali seperti yang semua sudah tahu, peranti ini akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 dan menggunakan sistem memori dan storan baharu iaitu LPDDR5X dan UFS 4.0. Jumlah memori dikatakan adalah mencapai 16GB RAM dan 512GB storan dalaman. Cip audio peranti ini juga dinaiktaraf, di mana mereka tidak menggunakan MariSilicon Y – sebaliknya menggunakan cip dari Audio-Technica.
Untuk rekaan OnePlus 11, mereka menyatakan rekaan adalah berdasarkan lohong hitam di angkasa. Modul kamera bulat gergasi di panel belakang melentur ke sisi agar ia nampak premium. Untuk model berwarna hitam, OnePlus menggunakan teknologi kaca “sutera” generasi keempat untuk tekstur lembut, sedap dipegang dan bebas kotoran cap jari. Sementara model berwarna hijau ikonik mereka menggunakan tekstur serba baharu untuk kesan berkilat tanpa ada kesan pantulan.
Bukan itu sahaja, OnePlus 11 turut akan menggunakan teknologi antena baharu yang digelar LinkBoost 4.0. Antena ini digunakan untuk memastikan sambungan internet adalah sentiasa stabil dan pantas.
Kemudian dengan kerjasama bersama Oppo, mereka telah mengintegrasikan 100,000 pelayan peribadi untuk awanan khusus untuk rangkaian permua – di mana OnePlus yakin pengguna tidak lagi akan alami masalah lengah masa ketika bermain permua atas talian. Teknologi ini menjanjikan akan menyelesaikan masalah sambungan rangkaian sehingga 99.43%.