Sistem pengecasan pantas merupakan salah satu hal yang penting dalam sesebuah peranti pintar. Ia bukan sahaja memendekkan masa pengecasan, malah membantu memudahkan gaya hidup pengguna yang semakin sibuk.
Bercakap lebih lanjut, Realme telah menjadualkan sebuah acara pelancaran untuk teknologi pengecasan baharu pada 5 Januari depan. Tiada maklumat lanjut yang didedahkan setakat ini, tetapi teknologi sistem pengecasan dengan kuasa output 240W bakal diumumkan melaluinya. Ia dipercayai menggunakan teknologi pengecasan pantas keluaran Oppo yang diumumkan sebelum ini. Dalam pada itu, turut sama menyokong pelbagai protokol pengecasan termasuklah pengecasan PD 65W.
Turut kedengaran, sistem pengecasan ini mungkin digunakan pada model Realme GT Neo5 yang besar kemungkinannya tiba sekitar bulan yang sama. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi kelak bagi melihat apakah kejutan yang disediakan oleh Realme buat para pengguna.