Carian
Redmi Watch 3 Dilancarkan Dengan Bateri Hingga 12 Hari Dan Skrin Lebih Besar
December 27, 2022 Amy Maizuraa

Peranti boleh pakai Redmi Watch 3 turut diumumkan sebentar tadi. Ia merupakan variasi kemaskini untuk Redmi Watch 2 sebelum ini dengan sejumlah elemen yang masih dikekalkan. Misalnya seperti kerangka jam berbentuk segi empat bersama tali sejenis silikon tanpa cangkuk yang standard.Turut disertakan adalah butang fizikal khusus pada sisi kanan untuk kawalan tambahan.

Untuk spesifikasi, Redmi Watch 3 menggunakan skrin AMOLED 1.75-inci dengan resolusi HD dan kadar segar semula 60Hz. Skrin ini didakwa 14.8% lebih besar berbanding generasi sebelum ini dengan kecerahan puncak 300 nits. Di samping itu, ia juga memuatkan sensor penjejakan kesihatan dan kecergasan yang boleh memantau pelbagai perkara. Ini termasuklah pemantauan degupan jantung sepanjang hari, pemantauan oksigen dalam darah, kitaran haid, senaman penafasan dan pola waktu tidur.

Sebanyak 120 pilihan mod sukan disediakan dengan kebolehan GPS terbina untuk mengesan aktiviti luar. Bateri 289mAh yang disertakan mampu memberi ketahanan sehingga 12 hari penggunaan. Untuk harga, Redmi Watch 3 dijual di China pada harga RMB499 (~RM317) seutas.

Komen