Siri Redmi K60 telah diumumkan secara rasminya dengan pelbagai elemen cukup menarik. Ini termasuklah rekaan yang kini lebih premium, di samping perkakasan dalaman cukup baik. Seperti yang dijangka, pasti akan terdapat model yang bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan. Tetapi kelak dijenama semula dengan penjenamaan baharu.

Misalnya seperti Redmi K60 yang dipercayai tiba sebagai Poco F5 Pro apabila memasuki pasaran global kelak. Maklumat ini diperoleh menerusi perkongsian satu ciapan di Twitter yang dalam masa sama tidak pula menunjukkan sebarang kewujudan Poco F5 setakat ini. Ia juga sekadar berkongsi nama model tanpa sebarang maklumat lanjut mengenai spesifikasi pada peranti.
Dalam pada itu, perkongsian yang sama turut menunjukkan Redmi Note 12 Speed Edition mungkin dikenali sebagai Poco X5 Pro 5G. Kemudian diikuti dengan Redmi Note 12 sebagai Poco X5 5G yang dijana Snapdragon 695. Tiada tarikh pelancaran rasmi yang didedahkan setakat ini.
Pihak Poco dan Redmi juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan ini. Jadi, lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura.