Carian
Kajian Membuktikan Apple Watch Boleh Memantau Tahap Tekanan Pengguna
December 30, 2022 Fahim Zahar

Apple Watch adalah jam tangan pintar terbaik setakat ini. Ia menyokong ECG, skrin OLED, menyokong pengecasan pantas, dan hadir dengan banyak ciri dan fungsi menarik untuk pemantauan aktiviti pengguna.

Satu ciri yang masih tidak tersedia pada Apple Watch, tetapi sudah sekian lama hadir pada Wear OS dan penjejak kesihatan adalah pemantauan tekanan pengguna. Walaupun Apple Watch dilengkapi dengan sensor yang boleh membaca data ini, pengguna perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga untuk menggunakannya.

Dalam kajian MyHealthApple melalui MacRumors, Apple Watch dikatakan boleh memantau tahap tekanan pengguna dengan tepat. Ini kerana pemantauan tekanan menggunakan data HRV (Heart Rate Variability) dan Apple Watch sudah pun mengumpulkan data ini. Dalam kajian yang dilakukan, enam data ECG digunakan sehari untuk menentukan tahap tekanan pengguna.

Keputusan kajian ini mendapati, tahap tekanan yang dibaca adalah cukup tepat dan pengguna memang boleh bergantung kepada Apple Watch untuk memantau tahap tekanan masing-masing. Tambahan lagi, dengan Apple Watch yang memantau tidur, aktiviti dan kadar jantung pengguna – data-data ini membolehkan pemantauan tekanan mendapatkan hasil yang lebih baik.

Jika anda ingin semak sendiri tahap tekanan menggunakan Apple Watch, buka aplikasi Health pada iPhone, tekan Browse, kemudian pilih Heart dan lihat data Heart Rate Variability. Pilih data untuk 6 bulan (6M), jika data pada carta terpacak tinggi bermakna pengguna kurang menghadapi tekanan dan jika ia menurun bermakna tahap tekanan adalah tinggi.

Secara alternatif, terdapat beberapa aplikasi pihak ketiga yang boleh memaparkan data ini dengan lebih baik. Gentler Streak Workout Tracker adalah aplikasi yang Apple pilih sebagai aplikasi Apple Watch terbaik tahun ini.

Komen