Carian
Samsung Odyssey OLED G9, Viewfinity S9 Dan Smart Monitor M8 Baharu Turut Diumumkan
January 3, 2023 Effi Saharudin

Samsung telah melancarkan monitor Dw-4K pertama dunia lewat malam tadi sempena CES. Bagi yang tidak memerlukan monitor yang melampau ini, Samsung turut melancarkan Samsung Odyssey OLED G9, Samsung Viewfinity S9 dan Samsung Smart Monitor M8 baharu.

Samsung Odyssey OLED G9 dilengkapi skrin 49-inci QHD dengan nisbah 32:9 dan lengkungan 1800R. Panel adalah dari keluarga quantum dot OLED dengan kadar segar semula mencecah 240Hz. Walaupun ia sebuah monitor gaming, ia turut merangkap monitor pintar dengan sistem operasi Tizen OS.

Oleh itu aplikasi Netflix, YouTube dan Prime Video boleh dimuat turun dan digunakan tanpa OLED G9 disambungkan kepada sebuah PC. Ia turut hadir dengan Samsung Gaming Hub yang membolehkan perkhidmatan penstriman video Xbox dan NVIDIA GeForce Now diakses secara terus.

Samsung ViewFinity S9 pula dilengkapi skrin 27-inci dengan resolusi 5K dengan sokongan 99% waran DCI-P3 dan Delta E ≦21. Monitor in menyasarkan golongan profesional yang mencari monitor pintar untuk tujuan kerja. Terdapat juga Color Calibration Engine yang memastikan paparan warna pada skrin sentiasa tepat.

Skrin adalah dari jenis matte yang tidak silau. Sambungan boleh dilakukan menggunakan USB-C dan Thunderbolt 4. Terdapat juga kamera web 4K SlimFit pada bahagian atas untuk sesi telesidang. Seperti Odyssey OLED G9 ia menggunakan sistem operasi Tizen OS.

Akhir sekali ialah Samsung Smart Monitor M8 baharu dengan skrin 4K 27-inci dan 32-inci. Monitor tahun ini hadir dengan leher yang boleh diputar 90 darjah untuk paparan menegak dan ketinggian boleh dilaras.

Seperti model M8 sebelum ini, model baharu hadir dengan sistem operasi Tizen OS yang membolehkan pelbagai aplikasi popular dimuat turun serta sokongan sistem internet benda SmartThings dan Matter. Akhir sekali ia turut dilengkapi kamera web SlimFit terbina. Kesemua monitor masih belum diumumkan harga atau tarikh jualan setakat in.

Komen