#LG

Siri LG OLED G3 2023 Akan Lebih Bergantung Kepada Kecerdasan Buatan

Diterbitkan pada Jan 3, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sempena acara CES 2023 yang akan berlangsung tidak lama lagi, LG baru-baru ini telah mengumumkan beberapa televisyen OLED baharu mereka di bawah siri Z3, G3 dan C3. Kesemua televisyen ini akan dijana dengan cip kecerdasan buatan baharu mereka iaitu α9 AI Processor Gen6.

LG menjanjikan kualiti paparan yang lebih terang, warna yang lebih jitu, serta kemampuan kecerdasan buatan yang lebih berkuasa seperti  AI Picture Pro untuk ciri upscaling dengan kejelasan yang lebih bagus, butiran yang dipertingkatkan, tona dinamik yang lebih baik, boleh mengesan wajah manusia dan objek penting untuk memberikan kualiti HDR yang lebih nyata. Selain itu, ciri AI Sound Pro turut membolehkan sistem audio 9.1.2 maya untuk pengalaman pendengaran yang lebuh menyeluruh.

Untuk siri LG OLED G3, teknologi Brightness Booster Max diperkenalkan untuk kawalan cahaya dan algoritma cahaya yang membolehkan kecerahan ditingkatkan kepada 70% lebih terang dan ia dikawal secara piksel-per-piksel untuk hasil imej yang lebih tajam. Siri G3 turut menggunakan rekaan One Wall Design untuk kelihatan lebih cantik tanpa lompong apabila dipasangkan ke dinding. webOS baharu turut akan digunakan dengan rekaan antaramuka baharu yang lebih diperibadikan, menawarkan ciri Quick Cards untuk akses pantas ke kandungan kegemaran pengguna, dan kandungan turut akan disusun secara automatik mengikut kategori seperti Permainan, Sukan, Muzik dan lain-lain.

AI Concierge turut akan disertakan dalam webOS, sebagai “penjaga” kepada pengguna untuk membantu mencadangkan kandungan berdasarkan corak penggunaan. Sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos turut akan disertakan. TV LG 2023 ini turut menyokong sambungan dengan soundbar LG secara lebih baik dengan ciri audio IMAX yang dipertingkatkan dengan DTS:X serta WOW Orchestra. Siri LG OLED G3 ini turut menyokong sambungan HDMI 2.1a QMS-VRR dengan tiada lagi masalah skrin hitam apabila menukar sumber media seperti antara konsol dan TV.

Sokongan HDMI 2.1a ini turut membolehkan masa tindak balas 0.1ms, lengah masa input yang lebih rendah, sokongan kadar segar semula tinggi untuk permainan video serta sokongan G-SYMC dam FreeSync Premium disertakan. LG akan menawarkan tiga pilihan saiz iaitu 55″, 65″ dan juga 75″. Butiran mengenai televisyen baharu ini akan didedahkan lebih lanjut pada acara CES 2023 nanti. Sama-sama kita nantikan.

komen


© Amanz / 2023 Kami