Telegram Kini Menyokong Sembunyikan Media Beberan Dan Pengurus Storan Baharu

Diterbitkan pada Jan 3, 2023. oleh .

Disember dua tahun lepas, Telegram telah dikemaskini dengan ciri menyembunyikan mesej beberan. Pengguna boleh pilih teks yang ingin disembunyikan dan ia hanya akan dipaparkan selepas penerima tekan sahaja. Kemaskini terkini, Telegram menyertakan kemampuan menyembunyikan media beberan pula – di mana imej akan dikaburkan dengan kesan kerlipan dan perlu ditekan untuk mendedahkannya.

Bukan itu sahaja, ciri pengurusan storan yang lebih baik turut diperkenalkan. Sebelum ini, apa-apa fail yang dimuat turun dari Telegram jika dipadam pada peranti pengguna boleh muat turun kembali pada bila-bila masa. Kini, ciri auto-buang fail diperkenalkan dan pengguna boleh tetapkan mengikut perbualan seperti individu, kumpulan atau juga saluran. Carta pai turut akan dipaparkan untuk memudahkan lagi pengguna mengurus storan.

Untuk memudahkan lagi pengguna, Telegram turut memperkenalkan ciri melukis dan alatan teks baharu pada ciri suntingan mereka. Jika pengguna melukis garisan, bergantung kepada kelajuan ketebalan garisan akan berubah dan garisan juga akan nampak kemas secara automatik. Alat kabur gambar turut disertakan untuk tutup kandungan sensitif dan ciri pilihan warna juga seakan menggunakan perisian profesional. Bagi alatan teks, pengguna kini boleh ubah saiz, muka taip, latar belakang dan tambah emoji.

Kami turut telah melaporkan mengenai ciri yang membolehkan pengguna menetapkan gambar profil rakan. Selain itu, pengguna turut boleh menetapkan siapa yang boleh melihat gambar profil sama ada secara umum atau tiada sesiapa.

Untuk kumpulan yang ada lebih 100 ahli, Telegram kini membenarkan pentadbir menyembunyikan senarai ahli. Ciri ini membolehkan privasi dijaga dengan lebih baik, seperti seseorang tidak boleh mesej secara peribadi kepada individu lain yang berada dalam kumpulan sama.

Telegram turut mengemaskini beberapa ciri seperti animasi proses muat turun baharu, menambah pek pelekat dan juga emoji interaktif bagi memeriahkan lagi ruangan sembang.

Kemaskini ini diuji sejak Disember untuk pengguna beta dan telah diedarkan secara berperingkat kepada semua pengguna stabil. Anda boleh semak Google Play Store dan Apple App Store untuk kemaskini pemesejan Telegram baharu ini.

komen


© Amanz / 2023 Kami