Carian
LineageOS 20 Berasaskan Android 13 Dilancarkan Dengan Aplikasi Kamera Berkuasa
January 3, 2023 Fahim Zahar

Sebagai seorang peminat teknologi, sejak zaman belajar lagi saya suka bereksperimen dengan Custom ROM pada peranti Android kerana ingin menguji versi Android baharu atau menambah ciri menarik yang pengeluar peranti tidak sertakan.

Tetapi sejak kebelakangan ini, Custom ROM tidak lagi relevan kerana pengeluar peranti telah menambah banyak ciri menarik dan pelbagai kemampuan kustomasi telah diberikan. Bukan itu sahaja, pengedaran kemaskini Android juga semakin pantas dan sokongan kemaskini juga sudah semakin lama sehingga ada yang mencapai sehingga 4 tahun untuk versi Android seperti Samsung dan Oppo.

Terkini, LineageOS 20 telah dilancarkan secara rasmi dan ia dibina berasaskan Android 13. Bukan itu sahaja, versi kali ini turut hadir dengan aplikasi kamera yang berkuasa iaitu dengan sokongan API CameraX – di mana aplikasi kamera ini boleh menggunakan ciri dan fungsi yang pengeluar peranti sertakan seperti mod potret, mod malam, tetapan OIS, dan banyak lagi kawalan seakan GCam.

Tampalan sekuriti adalah Disember 2022, Android 13 yang diubahsuai dengan lebih banyak ciri kustomasi, LineageOS 20 turut menyokong Android TV dan banyak lagi. Dengan kehadiran Custom ROM ini, peranti yang pengeluar sudah hentikan kemaskini boleh kembali dikemaskini dengan versi Android baharu dan tampalan sekuriti terkini.

Setakat ini terdapat lebih 50 peranti yang disokong secara rasmi. Contohnya OnePlus 5/5T, OnePlus 6/6T, siri OnePlus 7/7T, Razer Phone 2, Xiaomi Mi 8, Xiaomi Mi 9 SE, Mi MIX 2S, Poco F1, pelbagai peranti Motorola dan Pixel 4/5 dan banyak lagi.

Komen