Ketuhar Samsung Bespoke AI Boleh Menstrim Video Masakan Ke Peranti Dan Ke Internet

Diterbitkan pada Jan 3, 2023. oleh .

Samsung ialah sebuah jenama teknologi yang cukup terkenal untuk kepelbagaian peranti dan teknologi yang diperkenalkan. Peranti-peranti seperti peranti pintar dan televisyen mungkin lebih popular, tetapi mereka juga ada memperlihatkan pelbagai jenis kelengkapan dapur dan sebagainya.

Bercakap mengenai kelengkapan dapur, Samsung baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah ketuhar dalam siri Bespoke mereka yang dinamakan Samsung Bespoke AI Oven yang tampil dengan ciri-ciri seperti paparan skrin, kecerdasan buatan, kamera terbina dan juga sokongan aplikasi untuk memberi nafas baru kepada tugas memasak di rumah.

Samsung Bespoke AI Oven hadir dengan paparan skrin sesentuh yang membolehkan anda untuk menggunakan beberapa mod memasak seperti air sous vide, menggoreng secara kering (air frying) ataupun memasak menggunakan wap.

Lebih menarik lagi, ketuhar ini mempunyai kamera kecerdasan buatan terbina yang membolehkannya untuk bukan sahaja menstrimkan sesi memasak ke peranti anda, tetapi juga membuat keputusan samada masakan tersebut sudah dimasak ataupun tidak.

Bagi mereka yang mahu menceburi bidang penstriman, Samsung juga mengatakan kamera ini boleh digunakan untuk menstrim terus ke platform seperti Twitch ataupun YouTube secara langsung.

Samsung mengatakan bahawa Samsung Bespoke AI Oven ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran Eropah, dan akan mula dijual di pasaran-pasaran lain seperti Amerika Syarikat dan Asia sekitar pertengahan tahun ini.

komen


© Amanz / 2023 Kami