Carian
Apple Memfailkan Paten Untuk Sokongan Pengecasan Berbalik Pada iPhone
January 3, 2023 Amy Maizuraa

Pengecasan nirwayar berbalik merupakan teknologi yang membolehkan pengguna mengecas pelbagai aksesori jam tangan atau fon telinga pada peranti yang menyokongnya. Ia boleh dianggap sebagai kemudahan tambahan dan kita telah melihat penawarannya pada peranti Android sebelum ini. Ini termasuklah produk daripada Samsung dan Huawei.

Terdapat laporan terkini yang mengatakan Apple dalam pertimbangan untuk menyediakan fungsi yang sama pada telefon pintarnya. Laman Patently Apple melaporkan paten untuknya telah difailkan oleh Apple beserta dengan cara penggunaannya. Ia menunjukkan paten agak kompleks dan teknikal yang memperincikan bagaimana aksesori boleh diletakkan di belakang iPhone. Kemudiannya, ia boleh dicas secara nirwayar dengan baik tanpa perlu membetulkan kedudukan secara kerap.

Ia juga dipercayai digunakan secara menyeluruh yang meliputi sejumlah besar peranti Apple – termasuklah telefon pintar, jam tangan pintar, fon telinga dan lain-lain secara nirwayar. Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan bilakah teknologi ini bakal dikomersialkan oleh Apple secara rasmi. Bagaimanapun, ada kebarangkalian besar ia boleh dilihat pada telefon akan datang iPhone 15.

Komen