Carian
Apple Dilaporkan Akan Hadir Dengan AirPods Lebih Mampu Milik
January 3, 2023 Fahim Zahar

TWS Apple yang paling mampu milik sekarang adalah AirPods generasi kedua yang dilancarkan pada Mac 2019 dan dijual pada harga RM629. Kemudian jika ingin yang lebih moden dengan sokongan MagSafe, AirPods generasi ketiga yang dijual pada harga RM879.

Jika dibandingkan dengan pesaing, penawaran Apple sebenarnya masih mahal dan kualiti audio juga biasa sahaja kerana lebih memfokuskan kepada ekosistem seperti sokongan tambatan pantas ke semua peranti Apple. Terdapat laporan daripada penganalisa Jeff Pu of Haitong Intl Tech Research, mendakwa yang Apple mungkin akan hadir dengan AirPod lebih mampu milik.

Apple AirPods 3

Walaupun AirPods adalah antara aksesori Apple yang paling laris, permintaan pada tahun 2022 adalah 73 juta dan dijangka akan menurun kepada 63 juta pada tahun 2023. Permintaan AirPods generasi ketiga juga dikatakan tidak cukup hebat dan mungkin sebab ini, Apple ingin hadir dengan versi yang lebih mampu milik yang Jeff Pu namakan sebagai AirPods Lite.

Jika benar AirPods Lite ini akan wujud, harga jualannya mungkin adalah di bawah harga jualan AirPods 3 versi Lightning, RM829. Dalam pemantauan kami, AirPods Pro yang asli sudah boleh dibeli pada harga sekitar RM800 di sesetengah kedai jika ada promosi. Ini secara tidak langsung membuatkan tidak ramai yang meminati AirPods 3. Adakah anda salah seorang pemilik AirPods, jika ya model mana yang anda gunakan sekarang?

Komen