Cari @ Amanz

Siri komputer riba gaming Predator oleh Acer merupakan salah satu daripada jenama gaming yang cukup terkenal. Beberapa tahun ini Predator dilihat menawarkan pengalaman gaming berkuasa dengan rekaan peranti yang tidak begitu menonjol, sesuai sekali untuk mereka yang mahukan prestasi gaming terbaik tetapi tidak mahukan sesuatu yang begitu menonjol.

Di acara CES 2023, Acer telah memperkenalkan dua buah komputer riba gaming berkuasa baru dibawah Predator, iaitu Predator Helios 16 dan Predator Helios 18. Kedua-dua komputer riba gaming ini hadir dengan rekaan yang serba minimalis yang sudahpun cukup dikenali dan kini tampil dengan lampu RGB di bahagian belakang yang memberikannya sedikit corak yang menarik.

Kedua-dua komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i7 dan Core i9 HX generasi ke-13 bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 yang terbaru untuk komputer riba. Buat siri komputer riba ini, pengguna diberi pilihan untuk mendapatkan model sehingga GeForce RTX 4080.

Dari segi komponen lain, ia dikuasakan pula oleh memori DDR5 sebanyak 32GB dan hadir dengan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB yang cukup besar untuk permainan-permainan komputer yang sangat besar.

Seperti yang tertera pada nama model, Predator Helios hadir dengan dua saiz paparan, iaitu 16 inci dan 18 inci. Kedua-dua model ini hadir dengan pilihan paparan IPS beresolusi 2560×1600 dengan kadar segar semula 165Hz/240Hz ataupun paparan MiniLED dengan resolusi sama dan kadar segar semula 250Hz.

Gabungan komponen-komponen ini membolehkan komputer riba Predator Helios terbaru ini untuk menggerakkan permainan-permainan komputer moden pada resolusi, kadar segar semula dan tetapan yang tinggi.

Menyejukkan komponen-komponen ini ialah sistem penyejukan yang menggunakan kipas penyejuk Aeroblade generasi ke-5 dan gabungan bersama cecair penyejuk logam yang membolehkan haba dialihkan daripada komponen-komponen ini dengan lebih pantas.

Palam-palam yang disertakan pada komputer riba Predator Helios ini adalah seperti Thunderbolt 4 dan juga HDMI 2.1, dan untuk memastikan sambungan kabel yang lebih kemas, sebahagian daripada palam-palam ini terletak di bahagian belakang komputer riba ini.

Predator Helios 16 dan Predator Helios 18 akan diperkenalkan di pasaran-pasaran tertentu bermula bulan Mac dan April ini. Acer Malaysia akan mengumumkan kehadirannya untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd