Siri ASUS ROG Flow Baharu Dilancarkan Dengan Pilihan CPU Intel Dan AMD Terkini

Diterbitkan pada Jan 4, 2023. oleh .

Peminat setia siri ROG Flow kini menerima kehadiran beberapa penawaran baharu menerusi pengenalan Flow X13, Flow Z13 dan juga Flow X16. Penambahbaikan pada perkasasan dalaman telah dibuat oleh Asus pada kesemua produk, termasuklah sokongan pemprosesan dan GPU terkini.

Bermula dengan ROG Flow X13 (2023), ia didatangkan dengan reka bentuk boleh dilaras sehingga 360 darjah, sekaligus membolehkannya digunakan dalam empat jenis cara. Ini termasuklah sebagai komputer riba atau tablet. Turut disertakan adalah gabungan CPU AMD Ryzen 9 Zen 4, GPU NVIDIA GeForce RTX 40 dan bateri 75Wh yang menyokong pengecasan 100W.

Kesemua ciri dan fungsi ini telah dimuatkan kedalam tubuh sebuah komputer riba sebesar 13-inci beresolusi sehingga QHD dan kadar segar semula 165Hz. Ciri tambahan lain yang turut disokong termasuklah Dolby Vision, teknologi Advanced Optimus, G-SYNC dan kebolehan skrin sesentuh dengan pelindungan Corning Gorilla Glass DXC tahan calar. Komputer riba ini juga mempunyai kamera web FHD dengan Windows Hello dan sistem pembesar suara ditala audio Dolby Atmos.

Seterusnya, ROG Flow X16 juga mempunyai reka bentuk boleh laras sehingga 360 darjag dengan empat mod penggunaan. Skrin sesentuh disertakan dengan kebolehan stylus terbina. Seterusnya pemproses Intel Core i9-13900H dan GPU NVIDIA GeForce RTX 40 digunakan sebagai tunjang utama. Di samping, turut menawarkan pilihan memori sehingga 16 GB DDR5-4800 dengan dwi boleh dinaik taraf SO-DIMMs dan storan SSD sehingga 2 TB PCIe 4.0.

Kesemua ciri dan fungsi telah dimuatkan ke dalam sebuah skrin peranti bersaiz 16-inci yang menggunakan paparan Mini-LED. Turut disertakan, sokongan resolusi QHD dengan kadar kadar semula 240Hz dan nisbah aspek 16:10 yang luas. Ciri tambahan lain termasuklah sistem penyejukan Tri-Fan baharu yang dilengkapi dengan kipas Arc Flow. Dalam pada itu , terdapat juga penapis habuk bagi membolehkan prestasi pada peranti kekal konsisten sepanjang masa.

Akhir sekali adalah ROG Flow Z13 (GZ301), yang mana memuatkan pemproses Intel Core i9-13900H dan GPU NVIDIA GeForce RTX 40. Berbeza dengan produk tadi, ia mempunyai paparan dalam bentuk 2-1 yang direka untuk tujuan meningkatkan kecekapan aliran udara. Hal ini menjadi lebih baik dengan bantuan ruang wap dan sistem penyejukan terbina yang mampu meningkatkan kapasiti pemindahan haba lebih baik.

Skrin sebesar 13-inci QHD 165Hz digunakan dengan sokongan ROG Nebula Display, gamut warna DCI-P3 100% dan nisbah aspek 16:10. Ia turut memuatkan kamera FHD IR dengan sokongan Windows Hello untuk log masuk pantas. Di samping, papan kekunci fizikal yang boleh ditanggalkan. Sistem pembesar suara pula ditala dengan audio Dolby Atmos dan Hi-Res.

Harga jualan dan ketersediaan untuk kesemua produk di atas masih belum didedahkan setakat ini.

komen


© Amanz / 2023 Kami