AFEELA Ialah Jenama Kereta Elektrik Sony Honda Mobility

Diterbitkan pada Jan 5, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sony Honda Mobility hari ini mengumumkan kereta elektrik yang dihasilkan oleh mereka akan dipasarkan di bawah jenama AFEELA. Prototaip AFEELA diperlihatkan di lantai CES semasa acara pelancaran yang baru berakhir sebentar tadi. Kenderaan sedan hatchback elektrik ini masih mempunyai beberapa elemen yang sama seperti prototaip Sony Vision S sebelum ini.

Terdapat skin di bahagian but bonet hadapan yang boleh memaparkan pelbagai maklumat seperti pengecasan, cuaca dan pelbagai corak. Ini adalah cara untuk kereta berinteraksi dengan pejalan kaki ketika ia sedang dipandu. Bercakap mengenai pemanduan, kenderaan tidak dilengkapi stereng bulat sebaliknya menggunakan jenis seakan alat kawalan kapal terbang yang digunakan juga pada kenderaan Tesla.

Bahagian kokpit didominasi skrin gergasi melintang yang memaparkan maklumat pemanduan bersama dengan sistem info hibur kenderaan. Terdapat dua lagi skrin di kiri dan kanan skrin gergasi ini untuk cermin pandangan sisi kerana tidak cermin fizikal digunakan. Ia digantikan dengan dua kamera yang disorokkan pada dua sayap kecil yang aerodinamik pada pintu.

AFEELA menyasarkan kemampuan swapandu Tahap 3 apabila dilancarkan dan Tahap 2+ di dalam kawasan bandar. Sistem swapandu akan menggunakan platform Snapdragon Digital Chassis yang memantau 45 kamera dan sensor di keseluruhan tubuh kenderaan.

Tiada maklumat mengenai kuasa motor, saiz bateri dan jarak perjalanan yang mampu dilakukan AFEELA kelak tetapi ia disahkan menyokong pemanduan empat roda serta menyasarkan akan dipasarkan menjelang 2026.

komen


© Amanz / 2023 Kami