Displace Kini Rasmi – Televisyen Pintar Nirwayar Yang Boleh Dicantum

Diterbitkan pada Jan 5, 2023. oleh .

Beberapa minggu lalu, kami ada melaporkan mengenai sebuah syarikat televisyen baru yang dinamakan Displace yang mahu menawarkan pengalaman televisyen yang lebih unik dari biasa.

Di acara CES 2023, Displace telah memperlihatkan penawaran televisyen mereka dengan nama yang sama. Televisyen ini menggunakan pek bateri untuk menguasakannya dan boleh digantung di dinding menggunakan teknik lekapan biasa. Ini boleh dilakukan kerana televisyen ini mempunyai berat sekitar 9KG sahaja.

Displace juga mengesahkan bahawa pek-pek bateri ini boleh bertahan sehingga sebulan apabila televisyen tersebut digunakan selama enam jam sehari. Mereka juga memperlihatkan teknologi lekapan tanpa perlu menggunakan sebarang kelengkapan tambahan seperti rangka dinding VESA. Pelekap dinding sudahpun terbina di bahagian televisyen untuk pemasangan cepat dan mudah.

Displace mengatakan bahawa mereka juga akan menguji betapa kukuhnya lekapan ini apabila malapetaka seperti gempa bumi berlaku, ataupun apabila ia disentuh secara tidak sengaja.

Satu lagi ciri unik televisyen Displace ialah beberapa unit boleh digabungkan untuk menjadi satu televisyen yang lebih besar. Setiap televisyen ini hadir dengan saiz 55 inci, dimana dua televisyen boleh digabungkan untuk menjadi televisyen bersaiz 110 inci, dan empat televisyen boleh digabungkan untuk menjadi 220 inci.

Televisyen ini juga tidak mempunyai sebarang alat pengawal dan menggunakan kamera 4K terbina didalamnya untuk menjejak pergerakan pengguna, dimana gerakan tangan digunakan untuk mengawal fungsi-fungsi televisyen ini.

Pra-tempahan untuk televisyen DIsplace ini sudahpun mula dibuka untuk pasaran Amerika Syarikat, dimana mereka yang berminat boleh membeli satu unit, dua unit ataupun empat unit. Setiap unit televisyen hadir dengan harga $2999, dan meningkat ke $8999 untuk pek empat unit televisyen.

komen


© Amanz / 2023 Kami