Carian
Lenovo ThinkPhone Kini Rasmi Dengan Snapdragon 8+ Gen 1
January 6, 2023 Fahim Zahar

Di acara CES 2023, Lenovo telah menyambut ulang tahun mereka yang ke-30. Dengan pelbagai produk yang merak lancarkan, antara yang menarik adalah telefon pintar baharu iaitu Lenovo ThinkPhone. Ia adalah telefon pintar Android yang memfokuskan kepada pengguna perusahaan dan juga sekuriti ketat.

Pertama sekali, peranti ini hadir dengan skrin 6.6-inci pOLED FHD+, dijana cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan dengan memori 8/12 GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Peranti ini menggunakan kamera 50+13+2 Megapixel dengan 32MP kamera swafoto. ThinkPhone menjalankan sistem operasi Android 13 dengan sokongan kemaskini sehingga 4 tahun.

Sebagai peranti yang memfokuskan sekuriti, ia dimuatkan dengan sistem sekuriti ThinkPad iaitu ThinkShield dan turut mempunyai sistem Moto Threat Defense. Di dalam peranti, turut terdapat Moto Secure sebagai hab sekuriti untuk kawalan dan pemantauan oleh pengguna termasuk sokongan merombak pin. ThinkPhone turut mempunyai Moto KeySafe yang boleh menyimpan data kata laluan dengan perlindungan anti-godam.

ThinkPhone dibina dengan bingkai aluminium pesawat dan panel belakang gentian aramid, skrin dilindungi dengan kaca Gorilla Victus, serta mempunyai perlindungan IP68 dan menyokonh piawaian tahan lasak MIL STD 810H. Turut tersedia adalah butang fizikal merah yang boleh diubahsuai untuk melancarkan aplikasi kegemaran pengguna.

ThinkPhone turut dimuatkan dengan Think 2 Think oleh Ready For untuk sokongan Instant Connect boleh terus sambung ke komputer riba dengan pantas, Unified Clipboard di mana papan klip telefon dan komputer diselarikan, serta notifikasi yang boleh dilihat pada kedua-dua peranti yang berhubung. Sokongan File Drop turut disertakan untuk pemindahan data pantas, aplikasi Android boleh distrim pada Windows, ThinkPhone turut boleh dijadikan sebagai kamera web laptop dan paling menarik ada sokongan Instant Hotspot sambungan automatik.

Pelbagai aplikasi perusahaan turut disediakan seperti Microsoft Teams dan Microsoft 365. Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 68W Turbo Charge serta pengecasan nirwayar 15W. Peranti turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari bawah skrin.

Lenovo ThinkPhone akan dilancarkan di AS, Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah, Australia dan negara Asia terpilih pada tarikh yang akan diumumkan nanti. Harga jualan juga masih belum didedahkan lagi. Apa pendapat anda mengenai peranti ini dan adakah anda akan membelinya jika dilancarkan di Malaysia?

Komen