Lenovo Smart Paper Dilancarkan – Tablet E-Ink Khusus Untuk Mencatat Nota

Diterbitkan pada Jan 6, 2023. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Di acara CES 2023, Lenovo turut melancarkan Lenovo Smart Paper. Ia adalah tablet dengan skrin E-ink memfokuskan untuk catatan nota dan lakaran sebagai pengganti kepada kertas. Ia direka dengan rekaan nipis, ringan dan mudah dikendalikan agar mudah di bawa atau disimpan di mana sahaja.

Lenovo Smart Paper menggunakan skrin E-ink 10.3-inci beresolusi 1872 x 1404 dengan sokongan lapisan anti-silau dan Dual Color Front Light untuk kawalan kecerahan. Ia dijana dengan cip RockChip RK3566, memori 4GB RAM Turut terbina adalah mikrofon untuk rakaman audio. Storan yang disediakan adalah 64GB yang didakwa cukup untuk menyimpan 50,000 nota yang turut boleh diurus oleh pengguna. Bateri adalah 3550mAh dan menggunakan pengecasan USB-C. Smart Paper turut menjalankan sistem operasi Android 11.

Turut disertakan adalah Lenovo Smart Pen, stilus nir-bateri yang boleh disimpan terus pada kerangka pelindung yang disediakan. Stilus ini mempunyai sela masa 23 milisaat untuk sokongan menulis dan melakar yang lancar dan pantas.

Lenovo Smart Pen turut menyokong ciri pintar di mana ia mempunyai 9 jenis penggunaan seperti pen, pensel, marker, atau juga kaligrafi. Tahap tekanan stilus ini adalah 4096 dan turut boleh mengesan apabila stilus dalam keadaan condong untuk penulisan atau lukisan dengan ketebalan berbeza. Lenovo turut sertakan 74 templat nota berbeza.

Smart Paper ini turut mempunyai aplikasi Android dan iOS untuk pengguna akses nota pada mana-mana peranti pada bila-bila masa. Sokongan e-buku turut disediakan melalui eBooks.com dengan akses kepada lebih 2 juta buku berbeza. Harga jualan buat masa ini masih tidak didedahkan, serta turut tidak pasti jika ia akan dilancarkan di pasaran tempatan ataupun tidak.

komen


© Amanz / 2023 Kami