Cari @ Amanz

Terdapat banyak produk yang agak aneh dilancarkan oleh Lenovo di CES pagi ini seperti Yoga Book 9i dengan dwi skrin OLED. Tetapi kami rasakan rekaan Lenovo ThinkBook Plus Twist adalah lebih aneh dan unik kerana ia dilengkapi mekanisme yang membenar dwi-skrin diputar 360 darjah pada semua arah.

Dalam mod komputer riba skrin 13.3-inci 2.8K OLED dan skrin 12-inci e-ink berwarna di bahagian belakang boleh dipusing 360 darjah. Pengguna boleh memutarkan skrin ke belakang supaya boleh dilihat individu yang duduk bertentangan dengan mereka. Engsel skrin ini juga boleh diputar 360 darjah ke belakang untuk berubah ke mod tablet sama seperti siri Lenovo Yoga yang lain.

Ia dijana cip Intel Gen-13, memori sehingga 16GB LPDDR5X, storan sehingga 1TB PCIe Gen 4 SSD dan bateri 56W. Terdapat juga sokongan stylus untuk melakar terus pada skrin. Dari segi audio pula terdapat dua speaker stereo yang menyokong Dolby Atmos. Lenovo ThinkBook Plus Twist akan dijual bermula Jun pada harga $1649 (~RM7248).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd