Siri komputer riba gaming The Ultimate Force (TUF) keluaran ASUS diperkenalkan sebagai pilihan untuk kaki gamer yang hanya mahukan prestasi gaming terbaik dan tidak begitu menghiraukan ciri-ciri tambahan yang secara lazimnya diperlihatkan pada siri komputer riba ASUS ROG.
Sewaktu acara CES 2023, ASUS telah melancarkan kemaskini kepada sejumlah siri komputer riba ini yang dikuasakan oleh siri cip pemprosesan terbaru keluaran AMD, Intel dan juga NVIDIA.
Bermula dengan ASUS TUF A16 Advantage Edition, komputer riba ini adalah sebuah komputer riba gaming AMD Advantage yang bermakna bahawa ia dikuasakan sepenuhnya oleh komponen-komponen AMD.
Ia hadir dengan panel IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi QHD (2560×1440) dengan kadar segar semula 240Hz dan bingkai yang nipis. Sebagai sebuah komputer riba AMD Advantage, papara TUF A16 ini juga menyokong teknologi paparan AMD FreeSync Premium dan nisbah paparan 16:10 memberi pengguna paparan yang lebih besar.
Ia dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD Zen 4 terbaru, sehingga cip pemprosesan AMD Ryzen 9 dan juga kad grafik AMD Radeon RDNA 3. Ia juga hadir dengan pilihan memori DDR5 dan juga storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB yang cukup besar untuk pelbagai permainan komputer yang memakan banyak storan kebelakangan ini.
Jika anda mahukan grafik yang dikuasakan cip pemprosesan grafik NVIDIA, siri komputer riba ASUS TUF siri A dan F juga diperkenalkan, terdiri daripada ASUS TUF A15, TUF A17 dan ASUS TUF F15 dan TUF F17.
Siri komputer riba TUF F16 dan F17 tampil dengan paparan skrin bersaiz 15.6 dan 17.3 inci dan dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core generasi ke-13 Raptor Lake sehingga Intel Core i9-13900H, manakala ASUS TUF A15 dan A17 pula hadir dengan pilihan paparan yang sama, tetapi dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Zen 4 terbaru.
Dari segi pilihan kad grafik, kesemua komputer-komputer riba ini dikuasakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 yang terbaru juga. Menyejukkan komponen-komponen ini ialah kipas penyejukan Arc Flow Fans yang mempunyai 84 bilah dengan rekaan mendatar di bahagian hujungnya untuk mengurangkan isu gelora udara apabila ia berpusing dengan laju.
Siri komputer riba ini akan diperkenalkan dengan lebih lanjut sekitar pertengahan tahun ini.